KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd akan menyerap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi semua model kereta Proton pada September 2018.
Langkah tersebut untuk memastikan pembeli masih boleh mendapat manfaat daripada harga bebas cukai bagi pembelian kereta jenama itu.
“Walaupun SST akan menjejaskan harga kereta untuk bulan September, kami akan menyerap SST untuk semua model kami untuk memberi pembeli masa tambahan untuk membuat pembelian.
“Ini akan memberi manfaat kepada mereka semasa tempoh peralihan ini dan membantu Proton mengekalkan momentum jualan yang baru dibina,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Proton berkata, pelaksanaan SST akan menyebabkan gangguan dalam pasaran automotif Malaysia kerana pembeli kereta terpaksa bergegas untuk membuat pembelian sebelum cukai itu dilaksanakan pada 1 September lalu.
Dalam pada itu, Proton memaklumkan volum jualan kereta itu meningkat 11.7 peratus kepada 9,501 kereta berbanding bulan Julai.
Ia merupakan jualan tertinggi sejak Julai 2015.
Menurut Proton, peningkatan itu dipacu oleh penjualan model Saga dan Persona.
“Bulan Ogos menyaksikan pertumbuhan jualan bulan ketiga berturut-turut untuk Proton, didorong oleh sifar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST), sebelum pelaksanaan SST serta kempen pemasaran agresif,: kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa.
Katanya, jualan kukuh itu menunjukkan peningkatan keyakinan awam terhadap jenama Proton, dengan lebih ramai memilih Proton hasil pakej menarik yang ditawarkan.
“Pemulihan Proton berada pada landasannya dan kami akan memastikan pelanggan-pelanggan baharu akan menerima tahap khidmat pelanggan tertinggi.” ujar beliau. – MalaysiaGazette