KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan diharap tidak meminggirkan komuniti luar bandar yang berhak merasai pembangunan, kata Senator Dewan, Negara Lim Hui Ying.
Katanya, kerajaan bukan sekadar melaksanakan dasar-dasar yang baik malah perlu mentadbir urus negara berdasarkan maklum balas rakyat.
“Kerajaan Persekutuan baharu tidak hanya perlu melaksanakan dasar-dasar yang baik malah perlu memastikan adanya proses maklum balas agar suara pihak-pihak berkepentingan diberikan pertimbangan dengan sewajarnya.
“Jika suara rakyat adalah suara keramat maka mana-mana pembangunan tidak patut meminggirkan mana-mana komuniti di luar bandar-bandar besar tidak kira di peringkat negeri ataupun di peringkat persekutuan tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil kepada semua rakyat Malaysia,” katanya ketika membahas usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hari ini.
Dalam masa yang sama, adik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu berkata, kerajaan juga perlu memastikan pengagihan sumber seluruh negeri dilakukan secara adil.
Justeru, demi memastikan ia dilakukan dengan betul, maka Hui Ying mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen.
“Bagi usaha ke arah ini jawatankuasa terpilih khas parlimen ditubuhkan untuk mengkaji semula formula pengagihan sumber yang baharu di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan 13 buah negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette