KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kedah pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang menangguhkan projek pembinaan Hospital Pendang Berpakar Minor merupakan satu keputusan yang tidak wajar.
Ia juga menafikan kepentingan lebih 200,000 penduduk daerah Pendang dan kawasan sekitarnya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri, Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.
Menurut beliau, penduduk amat memerlukan hospital berkenaan setelah menunggu sejak dijanjikan pada tahun 2002 dalam Rancangan Malaysia Ke-10.
Jelas beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, projek itu perlu dilaksanakan demi memastikan kebajikan rakyat terbela terutama dalam aspek kesihatan selain melunaskan janji yang dibuat Perdana Menteri keempat dahulu.
“Pendang merupakan satu-satunya daerah di negeri Kedah yang tidak memiliki hospital sendiri dan Menteri Besar Kedah tidak wajar membenarkan penangguhan projek pembinaan Hospital Pendang Berpakar Minor dan mendesak kementerian terbabit supaya meneruskan projek berkenaan demi kesejahteraan hidup masyarakat daerah Pendang.
“Pada sidang Dewan Undangan Negeri Kedah yang berlangsung pada pertengahan Ogos lalu, Kak Su (saya) ada bertanya soalan sama ada kerajaan negeri akan meneruskan projek Hospital Pendang Berpakar Minor tersebut memandangkan terdapat laporan akhbar yang menyatakan tentang kenyataan Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkifli Ahmad mengenai lebih 23 projek ‘sakit’ yang dihenti dan dikaji semula.
“Kerajaan negeri dalam menjawab soalan tersebut pada 15 Ogos lalu mengatakan projek Hospital Pendang Berpakar Minor tersebut akan diteruskan sebagaimana yang dirancang, namun ditangguh seketika ekoran beberapa isu teknikal membabitkan kelulusan bersyarat ke atas syarikat pemaju (syarikat Seri Libanan PPC JV Sdn Bhd yang sudah menerima surat setuju terima pada 17 April lalu),” katanya melalui Facebook miliknya hari ini.
Suraya yang Ketua UMNO Bahagian Pendang menambah, tidak ada sebarang kenyataan jawab dibuat oleh kerajaan negeri yang menyentuh mengenai arahan atau surat Pekeliling Kerajaan pada sidang dewan.
Namun jelas pada 29 Ogos baru-baru ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz mahathir tiba-tiba memberi alasan arahan pekeliling kerajaan untuk justifikasi menangguhkan projek Hospital Pendang Berpakar Minor tersebut buat sementara waktu.
“Perkembangan ini membuat Kak Su rasa pelik kerana pekeliling kerajaan itu telah dikeluarkan lebih awal pada tarikh 29 Jun 2018, berbanding tarikh berlangsung sidang Dun Kedah yang bermula pada 13 Ogos hingga 16 Ogos 2018.
“Beberapa persoalan timbul mengenai Pekeliling Kerajaan, siri S/K.Kew/PK/MOF/D/00 JLD.10 SK.6 (14) yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Malaysia itu berbanding alasan dan kenyataan yang dibuat mengenai projek pembinaan Hospital Pendang Berpakar Minor itu antaranya mengapa tiada inisiatif lebih awal dapatkan maklumat daripada Kerajaan Pusat atau Kementerian terbabit tentang perkembangan projek Hospital Pendang Berpakar Minor untuk menjawab soalan Kak Su dalam Dewan Undangan Negeri yang dikemukakan pada 17 Julai 2018 lalu?
“Arahan Pekeliling Kerajaan itu bertarikh 29 Jun 2018, apakah Kerajaan Negeri tidak merasa bersalah atau berdosa memberikan jawapan tidak tepat dalam sidang Dun pertama Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Kedah pada pertengahan Ogos lalu?
“Adakah Kerajaan Negeri malas dan tidak membuat sebarang penyelidikan atau berusaha untuk mendapatkan jawapan yang tepat bagi setiap soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri khususnya berhubung projek yang membabitkan kesejahteraan hidup rakyat yang diperoleh peruntukkannya daripada Kerajaan Pusat?,” katanya.
Suraya menegaskan, kerajaan Kedah harus memastikan projek Hospital Pendang itu tidak dilabel sebagai kategori C sebagaimana yang dinyatakan dalam pekeliling kerajaan tersebut yang memungkinkan rakyat Pendang terpaksa menunggu lebih lama untuk menikmati kemudahan kesihatan.
Beliau juga berkata, pembiayaan membina projek Hospital Pendang Berpakar Minor tiada kaitan dengan putar belit jumlah hutang kerajaan kerana peruntukannya telah diluluskan, tender telah dikeluarkan pada 22 Disember 2017 dan pemaju sudah menerima surat setuju terima dan hanya menunggu masa untuk meneruskan projek berkenaan.
“Anggota Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam kenyataannya pada 14 Mei 2018 menegaskan ekonomi negara dalam keadaan kukuh. Justeru, Menteri Besar Kedah tidak wajar mengelak untuk membina Hospital Pendang Berpakar Minor dengan memberi alasan ‘politik’ tentang hutang rasmi negara yang diputar belitkan jumlahnya.
“Kerajaan PH Kedah juga tidak wajar menyalahkan Kerajaan Persekutuan 100 peratus memandangkan pihaknya juga cuai dalam memantau perkembangan projek yang memberi kebaikan kepada lebih 200,000 penduduk di daerah Pendang dan sekitarnya.
“Kami khuatir sekiranya penangguhan pembinaan Projek Hospital Pendang Berpakar Minor ini akan memakan masa yang lebih lama sebagaimana yang berlaku pada 2002 dahulu dan jika proses kaji semula projek berkenaan akan melambatkan lagi pihak kontraktor memulakan kerja-kerja pembinaan, sekali gus lewat menyiapkan hospital yang diharapkan oleh rakyat sejak 2002 itu,” ujarnya.
Justeru, Suraya menggesa agar pihak Kerajaan Kedah pimpinan PH mengurangkan berpolitik 24 jam sebaliknya lebih serius serta bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan demi membangunkan negeri dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin. – MalaysiaGazette.