Home Nasional Keputusan STPM 2016 catat peningkatan nasional

Keputusan STPM 2016 catat peningkatan nasional

Mohamed Mustafa Ishak

PUTRAJAYA – Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 mencatat peningkatan dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat sebanyak 2.71 berbanding 2.65 pada tahun 2015.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, calon yang turut memperoleh PNGK 4.00 mencatat peningkatan 1.31 peratus atau 565 orang berbanding 0.8 peratus atau 335 dalam peperiksaan STPM 2015.

“Peratusan calon STPM 2016 yang mendapat PNGK 3.00 ke atas juga meningkat sebanyak 37.62 peratus atau 16,263 calon daripada 33.97 peratus atau 14,263 pada tahun lalu.

“Begitu juga calon memperoleh PNGK 2.75 ke atas meningkat 48.49 peratus atau 20,359 calon.

“Dengan peningkatan peratusan dan bilangan calon yang mendapat PNGK 3.50 ke atas dan 2.75 ke atas, saya menjangkakan peluang lepasan STPM 2016 untuk diterima masuk ke Universiti Awam (UA) adalah lebih besar” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan peperiksaan STPM 2016 di sini hari ini.

Mohamed Mustafa merangkap Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelaskan, seramai 11 calon telah mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran dan calon yang mendapat 4A turut bertambah kepada kepada 47 orang berbanding 27 orang pada peperiksaan STPM 2015.

Jelas beliau, bilangan calon yang mendapat 4A dalam keempat-empat mata pelajaran juga telah bertambah kepada 517 calon iaitu 1.2 peratus pada tahun ini berbanding 302 calon pada tahun lalu.

“Ini menjadikan bilangan keseluruhan calon yang mendaoat 5A dan 4A dalam peperiksaan 2016 telah meningkatkan daripada 339 calon kepada 575 calon,” katanya.

Menurut Mohamed Mustafa, pencapaian lulus penuh calon dalam satu hingga lima dan empat pelajaran telah meningkat sebanyak 71.88 peratus ia­itu daripada 29,028 pada tahun lalu kepada 31,079 bagi STPM 2016.

Pada masa sama, beliau menjelaskan MPM berpuas hati dengan pencapaian calon STPM 2016 luar bandar dan bandar apabila jurang sangat kecil setelah nilai perbezaan antara kedua-duanya berjaya dikurangkan daripada 0.06 pada tahun lalu kepada 0.03.

Mohamed Mustafa menambah, secara keseluruhannya prestasi 22 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2015 telah mencatat peratusan lulus penuh melebihi enam peratus iaitu gred C ke atas.

“Enam mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi tahun sebelumnya yang melebihi 3.00 peratus iaitu mata pelajaran Literature In English, Information and Communications Technology, Mathematics M, Perakaunan, Ekonomi dan Sains Sukan,” katanya. – MalaysiaGazette