Home Nasional ADUN Sungai Air Tawar dilantik Ketua Pembangkang

ADUN Sungai Air Tawar dilantik Ketua Pembangkang

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail
Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail

SHAH ALAMĀ – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail hari ini dilantik sebagai Ketua Pembangkang Selangor baharu berkuat kuasa serta-merta.

Pemasyhuran itu diumumkan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim setelah pihaknya menerima surat pencalonan jawatan itu daripada Barisan Nasional (BN) Selangor pada 27 Jun lalu.

“Saya telah menerima surat daripada BN Selangor pada 27 Jun 2018 untuk mencalonkan seorang Ketua Pembangkang Selangor iaitu ADUN Sungai Air Tawar.

“Dewan Negeri Selangor penggal ke-14 ini telah meneliti pelantikan ketua pembangkang adalah daripada BN.

“Maka dengan ini saya memasyhurkan Rizam Ismail, ADUN Sungai Air Tawar sebagai Ketua Pembangkang Selangor,” katanya pada Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-14 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Pada penggal lalu, Dewan Negeri Selangor tidak mempunyai ketua pembangkang selepas UMNO tidak melantik pengganti ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias yang meletakkan jawatan pada Disember 2014.

Suee Lim juga sempat berseloroh dan menyindir wakil BN Selangor itu agar tidak meletakkan jawatan bagi mengelakkan insiden sama berulang pada penggal lalu.

“Diharapkan Ketua Pembangkang Selangor yang dilantik dan dipersetujui dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, semak dan imbang dengan baik dan tentunya jangan letak jawatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette