Home Ekonomi Tiada harga siling untuk tiket pesawat

Tiada harga siling untuk tiket pesawat

Mavcom
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr Nungsari Ahmad Radhi (kanan), Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOT, Mohd Khairul Adib bin Abdul (kiri), dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) menunjukkan Laporan Malaysian Aviation Commission (MAVCOM) selepas sidang media berkenaan kadar baharu tambang penerbangan di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Menara 1 Sentrum, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 4 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan harga siling kepada tambang kapal terbang sebaliknya cuba mencari alternatif lain di dalam mengawal harga tiket terutama ketika musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengenalan harga siling tiket penerbangan akan memberi kesan negatif kepada pelanggan untuk jangka masa panjang apatah lagi kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menunjukkan harga tiket sehala menunjukkan trend menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Apabila harga siling diperkenalkan, kita takut syarikat penerbangan meminta harga lantai pula diperkenalkan.

“Selain itu, selain menyebabkan harga tiket menjadi lebih murah ketika permintaan tinggi, harga siling juga boleh menyebabkan harga tiket menjadi lebih mahal ketika di luar musim atau semasa permintaan rendah,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Dengan itu, kementerian bersama Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air telah bersetuju untuk meningkatkan kapasiti penerbangan domestik sebanyak 20 peratus ketika musim perayaan sebagai salah satu usaha untuk menurunkan harga tambang ketika itu.

Kajian Mavcom mendapati 39 daripada 46 laluan domestik mengalami peningkatan harga tiket sebanyak 0.8 sehingga tiga kali ganda pada setiap musim puncak.

Tambahnya, harga melonjak lebih tiga kali ganda semasa tempoh perayaan cuti Tahun Baharu Cina bagi sesetengah laluan di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Jelas Mavcom, harga tersebut adalah sejajar dengan amalan syarikat penerbangan antarabangsa berdasarkan permintaan dan penawaran pasaran.

Buat permulaan, Anthony berkata, pengenalan kapasiti tambahan itu akan dilakukan secara berperingkat semasa tiga perayaan iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri serta Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Jelasnya, kapasiti penerbangan akan ditambah selama tujuh hari berturut-turut sebelum musim perayaan itu tiba.

Bagi perayaan Tahun Baharu Cina, beberapa laluan telah dipilih seperti Kuala Lumpur (KL)-Sibu, KL-Kuching, KL-Kota Kinabalu, Ipoh-Johor Bharu, Johor Bharu-Sibu, Johor Bharu-Kuching dan Johor Bharu-Kota Kinabalu. Tiket akan mula dijual pada Oktober.

Manakala bagi perayaan Aidilfitri pula, kapasiti penerbangan akan ditingkatkan bagi laluan KL-Kota Bharu, KL-Kuching, KL-Alor Setar, Kl-Kuala Terengganu dan KL-Kota Kinabalu.

Anthony mengarahkan Mavcom untuk memantau hasil selepas kapasiti penerbangan ditambah dan sekiranya tindakan itu gagal untuk menurunkan harga tambang, kementerian akan bertemu semula dengan pemain industri bagi mencari penyelesaian lain.-MalaysiaGazette