PUTRAJAYA – Walaupun pernah ditawarkan melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun Suraya Sepit terpaksa menolaknya dengan berat hati memandangkan kesempitan hidup keluarganya.
Anak kelapan daripada sembilan beradik berusia 20 tahun itu terpaksa memilih memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentong, Pahang.
Berkat usaha gigih untuk mengubah hidup, dia bukan sahaja berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan malah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolan Malaysia (STPM) Kategori Orang Asli yang diumumkan hari ini dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.58.
“Kejayaan yang dicapai ini atas bantuan dan dorongan daripada semua pihak terutama ibu bapa yang menjadi pendorong selama ini selain guru dan rakan-rakan.
“Dua tahun lepas saya terpaksa menolak tawaran UiTM kerana masalah kewangan untuk sambung belajar dan memilih untuk ke tingkatan enam,” katanya yang berketurunan suku Temuan.
Ditanya resepi kejayaannya, Suraya berkata, dalam menuntut ilmu, dia lebih selesa belajar secara berkumpulan bersama rakan-rakan lain.
“Saya juga mengikut kelas tambahan yang disediakan secara percuma oleh pihak sekolah,” katanya yang gemar mengulang kaji satu mata pelajaran dalam masa sekurang-kurangnya satu jam.
Dengan kejayaan tersebut, dia akan memohon untuk melanjutkan pengajiaj di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan di Universiti Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak.
“Saya bercita-cita menjadi guru sukan kerana aktif dalam bidang sukan sekolah termasuk mewakili negeri dalam sukan bola baling,” katanya.
Sementara itu, pelajar cacat penglihatan, Teh Yong Shing turut diumumkan pelajar terbaik STPM 2016 kategori pelajar istimewa.
Anak pemandu lori itu untuk mendapat keputusan cemerlang dengan PNGK 4.00 merupakan penuntut di SMK St. John, Kuala Lumpur.
“Saya berterima kasih atas dorongan ibu bapa yang memberi saya peluang mendapat pendidikan selain guru-guru pendidkan khas sekolah St. John yang tidak jemu-jemu membantu saya dalam akademik,” katanya.
Ditanya cabaran utama yang dihadapi menjadi pelajar istimewa, Yong Shing berkata, dia berdepan masalah daripada segi bahan-bahan bacaan dalam tulisan Braile.
“Walaupun guru pendidikan sudah sediakan buku Braile tetapi setengah daripada buku latihan itu bukan dalam versi Braile dan ada belum sempat diterjemah dalam tulisan Braile.
“Jadi, saya kena usaha lebih lagi untuk belajar menerusi buku-buku itu,” katanya yang cacat penglihatan sejak umur 10 tahun kerana masalah saraf.
Mengulas perancangannya, anak bongsu enam beradik itu berhasrat melanjutkan pelajaran di universiti awam dalam pendidikan kaunseling dan bercita-cita menjadi pensyarah. – MalaysiaGazette