KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan tidak boleh mempengaruhi atau menukar undang-undang syariah di Terengganu.
Ini kerana ia di bawah perundangan negeri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum Pakatan Harapan itu berkata demikian mengulas hukuman sebat ke atas dua wanita oleh mahkamah syariah di Terengganu kerana kesalahan melakukan hubungan lesbian.
“Apa yang berlaku di Terengganu di bawah pemerintahan Pas adalah di bawah undang-undang negeri sepenuhnya dan kerajaan Persekutuan tidak boleh masuk campur,” katanya dalam sidang media di Makati City, Filipina yang dipetik daripada sebuah portal hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai hukuman sebat itu dan apa tindakannya untuk menyeimbangkan undang-undang syariah dan sivil.
Bagaimanapun beliau menyedari ramai yang kurang senang dengan hukuman berkenaan dan percaya kedua-dua wanita itu juga wajar diberi penjelasan, pendedahan dan ilmu mengenai agama Islam.
“Kecuali mereka melakukan keburukan di depan awam dengan perlakuan seks.
“Tapi ini berkait dengan soalan awal mengenai interpretasi dangkal dalam undang-undang syariah di mana saya tidak boleh kongsi. Saya muslim dan tidak kongsi interprestasi,” ujarnya lagi.
Mengenai undang-undang syariah, Anwar mahu setiap reaksi perlu dilakukan berhati-hati kerana bimbang ia menyebabkan ketegangan dalam masyarakat Islam.
“Kita perlu berhati-hati kerana jika cuai dalam komen kamu akan dikaitkan dengan anti syariah, anti Islam..mereka akan guna itu mendakwa kamu sekular dan melawan Islam.
“Dan ia akan menyebabkan perang dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya lagi.
Anwar menegaskan, sebagai muslim beliau tidak menentang undang-undang syariah tetapi memahami keadaan Malaysia yang ada pelbagai agama dan berbilang bangsa.- MalaysiaGazette