Home Utama HSR tangguh Mei 2020, Malaysia bayar kos penangguhan RM45.1 juta

HSR tangguh Mei 2020, Malaysia bayar kos penangguhan RM45.1 juta

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (kanan) bersama Menteri Penyelarasan Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan bercakap pada sidang media selepas Upacara Menandatangani Surat Sampingan Projek HSR antara Malaysia dan Singapura di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju menangguhkan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sehingga 31 Mei 2020.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia akan membayar kos penangguhan itu sebanyak SD15 juta (RM45.1) dan pembayaran akan dibuat pada Januari 2019.

Jelas beliau, penangguhan projek HSR itu diminta oleh Malaysia dan negara jiran itu bersetuju atas semangat kerjasama dua hala.

“Malaysia dan Singapura kekal komited dengan projek HSR.

“Malaysia juga yakin untuk meneruskan projek HSR lepas 31 Mei 2020.

“Sepanjang tempoh penangguhan ini, kedua-dua akan terus berbincang dalam usaha mencari kaedah untuk mengurangkan kos projek HSR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan.

MGF05092018_PROJEK HSR03
Menteri Penyelarasan Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan bercakap pada sidang media selepas Upacara Menandatangani Surat Sampingan Projek HSR antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Singapura di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2018.

Sementara itu, Khaw memberitahu, sekiranya Malaysia tidak meneruskan projek HSR selepas 31 Mei 2020, kerajaan Pakatan Harapan itu telah bersetuju menanggung kos pembatalan yang terkandung dalam Persetujuan Kerjasama HSR.

Pada 12 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) hanyalah ditangguhkan, bukannya dibatalkan sebagaimana diputuskan sebelum ini.

Pada 28 Mei lalu, Mahathir memberitahu, kerajaan telah membuat keputusan akhir untuk membatalkan projek HSR kerana tidak memberi manfaat serta melibatkan kos yang tinggi.

Mahathir berkata, kereta api laju berkelajuan tinggi paling efektif apabila jaraknya panjang. – MalaysiaGazette