Home Nasional Saya rotan anak tapi bukan di khalayak ramai – Azis Jamman

Saya rotan anak tapi bukan di khalayak ramai – Azis Jamman

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

KUALA LUMPUR – Hukuman sebat ke atas dua wanita yang didapati cuba melakukan hukuman sejenis baru-baru ini menjadi isu besar kerana hukuman berkenaan dilaksanakan di depan khalayak dan bukan tentang hukuman berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pelbagai pihak melahirkan rasa tidak senang kerana cara hukuman itu dijalankan.

Menurutnya, usaha untuk mengajar itu betul tetapi jika dilaksanakan di hadapan orang ramai, beliau juga tidak setuju.

“Saya sendiri merotan anak saya seandainya berbuat salah, jika tujuan merotan itu sebenarnya berniat untuk mengajar atau mengelakkan tindakan salah salah laku pada masa depan, ianya tidak salah.

“Tetapi jika menghukum sehingga menyebat di khalayak ramai, saya secara peribadi tidak bersetuju langsung,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan hukuman di khalayak ramai itu perlu dikaji sama ada ia bertamadun atau sebaliknya.

“Tetapi saya tidak mahu beri pandangan tentang hukum Syariah,” tegasnya.

Mahkamah Tinggi Syariah pada 3 September lalu menjatuhkan hukuman sebat terhadap dua wanita yang dipercayai melakukan hubungan sesama jenis.

Hukuman enam kali rotan dijalankan di bilik mahkamah yang dibuat pertama kali di negara turut disaksikan lebih 100 orang termasuk keluarga, pengamal undang-undang dan media.

Hukuman tersebut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak – ada yang menyokong dan menentang pelaksanaan undang-undang tersebut.

Namun, Menteri Undang-undang Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata, Kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam soal undang-undang Syariah negeri walaupun dianggap tidak selari dengan hak asasi manusia. – Malaysia Gazette