SHAH ALAM – Pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia yang tidak bersetuju dengan pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) boleh menterjemahkan ketidakpuasan hati itu dengan keluar mengundi calon Pas, Dr Halimah Ali pada 8 September ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengundi DUN Seri Setia tidak perlu memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) ini dengan tidak keluar mengundi sebagaimana berlaku pada PRK Sungai Kandis 4 Ogos lalu, yang hanya merekodkan 49 peratus sahaja mengundi.
Katanya, hasil daripada maklumat diterimanya, kadar peratusan yang rendah keluar mengundi di DUN Sungai Kandis baru-baru ini, disebabkan tindakan pengundi memprotes dan memboikot kerajaan PH.
“Tindakan (protes dan boikot) di DUN Sungai Kandis itu tidak mencukupi. Kita hendakkan supaya pengundi DUN Seri Setia keluar mengundi dan undi calon pembangkang dari Pas, Dr Halimah Ali pada Sabtu ini.
“Dengan mengundi calon Pas, inilah referendum lebih jelas daripada hanya memboikot PRK dengan tidak keluar mengundi.
“Kalau tidak keluar mengundi, akhirnya calon kerajaan iaitu PH akan menang, sedangkan kita hendakkan wakil kita yang lebih kuat, menambahkan wakil pembangkang di dalam dewan dan suara pembangkang yang mewakili suara rakyat boleh didengar kalau calon kita menang dalam PRK ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Operasi Induk PRK Seri Setia di Pejabat Badan Perhubungan Pas Selangor, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi dan barisan kepimpinan Pemuda UMNO, Dewan Pemuda Pas, Pergerakan Wanita UMNO dan Dewan Muslimat Pas Selangor.
Menurut Ismail Sabri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, beliau percaya kalau Dr Halimah dipilih, berdasarkan pengalaman yang ada padanya, calon Pas itu boleh membawa suara pengundi di DUN Seri Setia untuk menyuarakan pandangan dan segala yang tidak puas hati.
“Saya percaya referendum ini boleh mengubah landskap politik negara kita, mungkin selepas ini kerajaan PH tidak boleh lagi memperlekehkan suara rakyat kerana selama ini mereka hanya pinggirkan suara rakyat..
“Tuntutan janji pilihan raya umum pun mereka tidak peduli kerana mereka tahu, mereka kuat dan tidak perlu dengar suara rakyat.
“Sebab itu kita hendak hantarkan mesej yang jelas supaya suara rakyat lebih kuat daripada kerajaan hari ini dan mereka (PH) perlu dengar suara daripada rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette