Home Nasional Saspek dikesan ‘beroperasi’ 2 bulan sebelum kematian Jong-nam – TPM

Saspek dikesan ‘beroperasi’ 2 bulan sebelum kematian Jong-nam – TPM

Ahmad Zahid Hamidi

BANGI – Imej Malaysia tidak akan terjejas dengan kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam dan tidak ada agenda sendiri seperti dakwaan sesetengah pihak, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menepis dakwaan negara ini bersengkongkol dengan negara lain dalam isu siasatan kes yang sama.

“Saya tidak gusar bahawa nama kita tidak terjejas. Nama kita diburukkan oleh negara yang mungkin melakukan perkara ini melalui ejen-ejen mereka. Akhirnya dengan sistem propaganda mereka menuduh kita pulak yang bersekongkol dengan negara lain.

“Kita tidak ada agenda sendiri dalam perkara ini dan kita tidak melindungi mana-mana penjenayah apatah lagi bersekongkol.

“Bagi kita, tindakan ini adalah berdasarkan kepada SOP (prosedur operasi standard) siasatan dan badan perisikan yang kita ada,” katanya pada sidang media selepas majlis Multaqa Pendidikan dan Sosial Majlis Perundingan Islam di Institut Latihan Islam Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, menurut siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), saspek-saspek dalam kes itu telah memulakan operasi dua bulan sebelum insiden berkenaan berlaku.

“Mereka (saspek-saspek) telah disyaki mengadakan operasi ini kira-kira dua bulan sebelum insiden ini berlaku. Tindakan dilakukan setelah kita dapati dalam rakaman CCTV  itu membuktikan bahawa hiduan siasatan selama ini adalah benar.

“Itu sebabnya pihak polis mengesan kepada saspek utama dalam tempoh kurang daripada 24 jam dan saspek kedua dalam tempoh 48 jam. Ini membuktikan langkah profesional yang dilakukan PDRM berada di tahap SOP,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Zahid, Malaysia masih dalam proses siasatan berhubung dakwaan ejen saraf VX sebagai bahan terlarang yang dibawa masuk ke negara ini secara haram.

Ditanya sama ada waris kepada Jong-nam telah dipanggil untuk memberikan DNA, ujarnya pihak berkuasa masih mencari waris kepada mangsa untuk proses pengecaman mayat dan membawa pulang.

“DNA telah selesai tetapi daripada segi perundangan kita kena padamkan dengan waris. Kita telah menyediakan beberapa langkah untuk menentukan dapat menghubungi waris,” jelas Ahmad Zahid.

Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 8 pagi 13 Februari lalu untuk menaiki penerbangan ke Macau sejam kemudian apabila dua wanita tiba-tiba muncul dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi apa yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam kemudian mendapatkan pertolongan di kaunter khidmat pelanggan di klia2 dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Mangsa datang ke Malaysia pada 6 Februari lepas menggunakan pasport tertera nama Kim Chol. – MalaysiaGazette.