Home Nasional Pelajar maut ditimpa tiang gol

Pelajar maut ditimpa tiang gol

BESUT – Seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun maut selepas ditimpa tiang gol dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi di sebuah sekolah di Jertih hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rawi dalam satu kenyataan berkata, mangsa, Ahmad Muazz Naimullah Mohd Azhar, pelajar Pondok Madrasah Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Lak Lok, Jertih dikatakan ke Sekolah Arab MAIDAM, Padang Landak, Jerteh untuk menyertai pertandingan bola sepak yang berlangsung hari ini.

” Mangsa dikatakan bergayut di tiang gol sebelum tiang tersebut terbalik lalu menindih dirinya. Rakan-rakannya yang melihat kejadian itu segera membantu mengangkat tiang gol terbabit.

“Ahmad Muazz kemudian bangun dan berjalan beberapa langkah sebelum rebah lalu segera dibawa ke Hospital Besut oleh gurunya,” katanya.

Bagaimana pun pelajar itu disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital, katanya. – Bernama