MEXICO CITY – Legenda bola sepak, Diego Maradona dilantik sebagai jurulatih kelab liga Mexico divisyen kedua, Dorados.
Reuters melaporkan, pengumuman dibuat oleh kelab itu menerusi rakaman video pendek di saluran media sosial dengan mesej ‘Selamat Datang Diego’.
Bagaimanapun Dorados tidak mendedahkan maklumat terperinci dan akhbar Mexico hanya melaporkan bahawa Maradona dilantik bagi menggantikan Francisco Gamez.
Dorados memecat Gamez pada Khamis lalu selepas permulaan hambar dipamerkan oleh kelab berkenaan selain menghuni tangga ke-13 liga daripada 15 pasukan.
Maradona, 57, adalah antara pemain hebat suatu ketika dahulu terutama pada 1986 yang menyaksikan dia menjadi kapten Argentina ketika memenangi gelaran Piala Dunia kedua dan terakhir negara itu.
Sebelum ini Maradona juga pernah menjadi jurulatih Argentina untuk kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. – MalaysiaGazette