BALAKONG- Petugas media dilarang memasuki pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana oleh seorang petugas, difahamkan Ketua Tempat Mengundi.
Media yang hadir ke sekolah berkenaan bagi membuat liputan sempena lawatan pemantauan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias dihalang memasuki perkarangan sekolah.
Menurut pegawai SPR berkenaan, media tidak dibenarkan masuk dengan memberi alasan petugas media akan menganggu pengundi.
Wartawan Bernama News Channel dan beberapa portal online lain berkata, pegawai berkenaan meminta petugas media supaya tidak berada di dalam kawasan sekolah berkenaan.
“Kami datang sini sebab nak buat liputan Datuk Setiausaha SPR serta sidang media, tak sangka pula dihalau petugas SPR,” katanya.
Menurut wakil-wakil media, petugas SPR itu bertegas tidak membenarkan kawasan itu dimasuki untuk membuat liputan.
“Ini kawasan saya, media tidak dibenarkan berada di sini, sila keluar sekarang.
“Kalau encik-encik dibenarkan masuk ke pusat mengundi lain (PDM) di alu-alukan pergi ke sana, ini kawasan saya, sila keluar sekarang,” tegas petugas SPR itu sebelum memanggil polis.
Dalam suasana hujan lebat, wartawan terpaksa mencari tempat berteduh di luar pagar sekolah. -MalaysiaGazette