KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu pimpinan Pas mengandaikan dua pesalah wanita yang disebat kerana kesalahan lesbian telah insaf dan bertaubat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, ini kerana kedua mereka tidak membuat rayuan dan menerima hukuman sebat yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.
Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya belum menghubungi atau bertemu pesalah itu selepas hukuman dijatuhkan.
“Setakat ini kami tidak dapat maklumat tetapi dari segi latar belakang mereka sudah insaf dan bertaubat.
“Kita boleh usaha jumpa balik kalau mereka rasa ingin beritahu mereka sedar dan insaf.
“Tapi kita harap jangan ganggu dan dia biarkan mereka meneruskan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Menangkis Takrif Kemanusiaan Songsang dan Sokong Sebat Lesbian di sini hari ini.
Turut hadir, ahli-ahli Pakatan Ekonomi dan Dakwah (Pack-Ecdah).
Sementara itu, Mohd. Nor berkata, Kerajaan Terengganu sedia bersemuka dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju dengan hukuman sebat itu kerana memberi gambaran buruk terhadap Islam.
Jelas beliau, pertemuan itu boleh diadakan pada bila-bila masa mengikut kesesuaian waktu Menteri Menteri Besar, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Pada sudut asas, kita lihat isu ini sudah diputuskan perlembagaan dan memberi hak kepada negeri.
“Bukan hak Menteri Besar iaitu luar kuasa eksekutif legislatif kerana dalam bidang kuasa kehakiman.
”Kita tidak mahu campur dan ganggu kerana akan jadi berkeliru,” katanya. – MalaysiaGazette