KUALA LUMPUR – Mantan Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ‘mengamuk’ dalam laman sosial Twitter miliknya hari ini dengan mempersoal pemimpin tertentu dalam parti yang menganggap diri mereka ‘kingmaker’.
Tian Chua menyoal siapakah itu yang secara suka hati mengangkat diri sebagai ‘kingmaker’ dan mengaku dirinya bertanggungjawab untuk setiap apa yang berlaku dalam parti PKR.
Selain itu, soal Tian Chua, berapa kali lagi pemimpin itu mahu berterusan ‘menyeret’ PKR dalam kemelut sama seperti perancangan ‘Langkah Kajang’ sebelum ini.
“Berapa kali anda mahu heret parti ke dalam ‘lumpur’ seperti Langkah Kajang sebelum ini? Siapakah ini yang sentiasa meletakkan dirinya sebagai ‘kingmaker’ untuk segala apa yang berlaku?” soalnya.
Walaupun beliau tidak menyebut mana-mana pihak atau nama pemimpin tertentu dalam twitter beliau namun umum juga boleh meneka berkemungkinan besar merujuk kepada mantan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang sentiasa kuat menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah semalam secara terbuka, Rafizi telah membuat pengumuman satu kerusi Parlimen akan di kosongkan pada minggu hadapan untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding dalam masa terdekat.
Rafizi turut memberi gambaran antara kerusi tersebut termasuk Selayang, Sungai Petani dan Sungai Siput ketika ceramah Reformasi 2.0 di Bandar Baharu Tunjong, Kota Bharu malam tadi.
Naib Presiden PKR itu juga turut membuat dakwaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan telah meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak bertanding dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Ceramah tersebut turut dihadiri beberapa calon pimpinan parti tersebut seperti Datuk Johari Abdul, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Roziah Ismail.
Rafizi berkata, anggota PKR perlu berhati-hati dalam membuat keputusan supaya kepemimpinan parti itu tidak jatuh ke tangan orang yang salah.
Hari ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga mengakui sebuah kerusi Parlimen akan dikosongkan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Rafizi Ramli pernah melabelkan Tian Chua sebagai geng kartel di bawah Azmin telah menyebabkan pergolakan dalaman yang hebat.
Bagaimanapun, Tian Chua juga merupakan satu-satunya pemimpin Cina dalam parti itu yang dilantik menjadi Naib Presiden PKR sejak 2004.
Malah Tian Chua bukan sahaja seorang yang lantang bersuara tetapi juga merupakan antara pemimpin terawal membantu Wan Azizah menubuhkan PKR bersama Azmin Ali dan Ezam dan hampir separuh hidupnya bersama PKR.
Beberapa tahun lepas, nama Rafizi pernah terpalit dengan dakwaan dalam kalangan ahli parti beliau adalah punca perpecahan Pakatan Rakyat (PR) dengan rancangan ‘Langkah Kajang’ pada 2014 bagi menggantikan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Langkah Kajang berlaku apabila PKR memaksa pilihan raya kecil di DUN Kajang pada Mac 2014, dalam usaha menggantikan Khalid sebagai MB atas tindak tanduk yang dilihat tidak sehaluan dengan dasar parti.
Rancangan asal adalah untuk meletakkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti MB, dengan mencalonkan beliau di DUN Kajang.
Rancangan itu bagaimanapun terbantut selepas sabitan Anwar di Mahkamah Rayuan dalam kes liwat membabitkan bekas pembantu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Wan Azizah Wan Ismail, kemudian dilantik menjadi calon untuk diangkat menggantikan Khalid.
Bagaimanapun, nama Wan Azizah ditolak istana Selangor walaupun beliau menang pada PRK Kajang. Sebaliknya, Azmin dengan sokongan PAS akhirnya dilantik menjadi MB. – MalaysiaGazette