Home Nasional UMNO, BN berhutang tidak kurang RM20 juta kepada saya semasa zaman Dr...

UMNO, BN berhutang tidak kurang RM20 juta kepada saya semasa zaman Dr Mahathir

Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, beliau merupakan peguam untuk UMNO dan Barisan Nasional namun tanpa mengenakan sebarang bayaran perkhidmatan khusus.

Terma itu sejak Perdana Menteri terdahulu daripada Dr Mahathir (ketika itu), Tun Abdullah Badawi dan Najib.

Kes-kes yang diserahkan kepadanya dan firma guaman beliau adalah dari petisyen pilihan raya kepada litigasi yang lain yang melibatkan UMNO dan Barisan Nasional.

Meskipun sering memberikan bantuan kepada UMNO sejak awal 90-an sehingga sekarang, tetapi beliau tidak pernah menjadi ahli UMNO atau mana-mana parti politik lain.

“Hubungan saya dengan UMNO dan Barisan Nasional dan kerajaan di bawah Barisan Nasional semata-mata sebagai peguam dan penasihat, tidak lebih,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Malah, katanya, beliau masih ada banyak bil yang tidak kutip bagi kerja-kerja perundangan yang dilakukan pada zaman Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, terutama ketika Datuk Mohamed Rahmat menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional.

Untuk lebih jelas, katanya, beliau juga memberikan perkhidmatan undang-undang kepada kerajaan Barisan Nasional dan Perdana Menteri dengan memberikan pendapat undang-undang dan dokumentasi segera.

“Banyak fail yang telah dibuka tanpa menerima apa-apa bayaran untuk masa yang lama kerana UMNO sentiasa berjanji kepada saya dan firma guaman saya bahawa pembayaran itu akan datang.

“Dalam beberapa kes, ada beberapa pembayaran kecil telah dibayar oleh UMNO dan Barisan Nasional dan ada juga, tidak ada pembayaran yang dibayar dan menyebabkan firma guamannya terpaksa membuat pembayaran pendahuluan,” kata Shafee yang pertama kali membuat pendedahan seperti ini.

Sehinggakan sekitar September 2013, beliau berkesempatan bertemu dengan Najib di Pejabat Perdana Menteri berhubung pelbagai perkara, Shafee sempat bertanyakan tentang bayaran perkhidmatannya kerana memerlukan wang untuk membeli hartanah daripada kawannya.

Itulah, kali pertama Najib tahu perkhidmatan Shafee belum dilunaskan oleh UMNO sepanjang zaman pentadbiran Dr Mahathir.

“Dia bertanya kepada saya berapa jumlah yuran yang telah terkumpul selama bertahun-tahun sejak awal 1990-an. Saya memberitahunya jumlah tidak kurang daripada RM20 juta.

“Tetapi saya tidak meminta semua. Saya memberitahunya saya akan gembira jika beliau dapat menyelesaikan kira-kira RM11 juta untuk perkhidmatan 46 petisyen pilihan raya antara tahun 2004 dan 2006.

“Namun, Najib bersetuju membayar RM9.5 juta sebagai penyelesaian lengkap yuran guaman bagi 46 perkara petisyen pilihan raya tetapi dia telah meminta saya untuk merasionalisasi kerja kertas itu kemudian dan saya bersetuju,” jelas Shafee.

Menurut peguam itu, Najib bertanggungjawab mengendalikan dana parti kerana ini adalah amalan biasa dalam parti walaupun beliau sama sekali tidak mengetahui sumber pembayaran yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu kepadanya. – MalaysiaGazette