Home Politik Wanita UMNO gesa kerajaan percepat akta gangguan seksual

Wanita UMNO gesa kerajaan percepat akta gangguan seksual

Noraini Ahmad
Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempercepat usaha mewujudkan satu akta khusus bagi menangani isu gangguan seksual.

Malah, peruntukan undang-undang sedia ada perlu ditambah baik agar usaha kerajaan membendung gangguan seksual menjadi lebih berkesan
, kata ketuanya, Datuk Noraini Ahmad.

“Ketika ini terdapat beberapa peruntukan undang-undang atau kod amalan garis panduan yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membendung kes-kes gangguan seksual iaitu di bawah Kanun Keseksaan, Pindaan Akta Kerja 1955, Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja dan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam.

“Ini kerana peruntukan di bawah Kanun Keseksaan lebih bersifat umum dan beban pembuktian di dalam kes yang dirujuk perlu dibuktikan melampaui keraguan munasabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dengan merujuk kes terbaru membabitkan seorang pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri yang merakam video bawah skirt seorang wanita di sebuah kedai cermin mata semalam, Noraini berkata tindakan individu terbabit yang merakam secara sembunyi dan senyap-senyap adalah perbuatan terkutuk dan keji.

Katanya, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mendesak polis menyiasat laporan polis dan rakaman video (CCTV) yang tular dalam media sosial itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Wanita UMNO memandang serius tindakan individu terbabit membuat rakaman yang dianggap sebagai gangguan seksual,” ujarnya.

Semalam, tular di laman sosial apabila aksi seorang lelaki yang menemani Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman dilihat merakam dari bawah skirt seorang wanita yang juga pekerja kedai cermin mata menggunakan telefon bimbitnya.

Perkara itu dilihat jelas menerusi rakaman CCTV di bilik pemeriksaan tersebut tanpa disedari pelaku terbabit.

Satu laporan polis telah dibuat terhadap individu terbabit dan tindakan memecat lelaki itu telah diambil oleh timbalan menteri berkenaan. – MalaysiaGazette