KUALA LUMPUR – Kebergantungan Kelantan kepada bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan sebenarnya berpunca daripada tindakan bekas Perdana Menteri keempat (Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang menghentikan projek pembangunan dan keperluan asas sejak negeri itu dimenangi Pas pada tahun 1990.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak sewajarnya memburukkan dan menegur negeri di Pantai Timur itu sebaliknya membantu tanpa mengira fahaman politik.
“Sejak Kelantan jatuh di bawah kepimpinan parti lain (Pas) pada 1990, sehingga kini tiada satu pun lebuhraya atau infrastruktur air bersih yang sempurna.
“Yang miskin tidak patut dikecam mengapa mereka miskin dan dihukum dengan alasan tidak mahu menolong mereka lagi kerana mereka masih miskin.
“Sebaliknya, mereka patut dibantu dengan lebih banyak, bukan dihukum atau dimarah,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyatakan Kerajaan Negeri Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM913 juta.
Guan Eng berkata, sejak tahun 2013 hingga tahun 2017, Kelantan menerima sebanyak RM363 juta bantuan kewangan defisit, yang merupakan pemberian kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus.
Najib juga berkata, semasa beliau menjadi Perdana Menteri banyak bantuan disalurkan bagi memperbetul dan membangunkan Kelantan sama ada dari segi infrastruktur pengangkutan, pembantuan fiskal, instrastruktur air, projek kumbahan mahupun penebatan banjir.
“Tidak kira negeri itu di bawah parti pemerintah di Putrajaya ataupun tidak, kita tak patut pinggirkan mereka atas semangat 1Malaysia.
“Walaupun Pulau Pinang antara negeri paling maju di Malaysia, saya juga telah menyalurkan dana RM650 juta bagi penstrukturan semula bekalan air dan geran RM1.3 bilion bagi pembesaran Empangan Mengkuang.
“Sebaliknya bantuan itu sering disalah guna oleh kerajaan DAP sejak 2011, kononnya mereka berjaya mengurangkan hutang kerajaan negeri sebanyak 95 peratus dan kononnya pandai mentadbir manakala BN tidak pandai,” katanya.
Katanya lagi, tiada salahnya membantu negeri yang kurang maju berbanding Kerajaan PH yang didakwa gemar membantu peniaga yang mengelak daripada membayar cukai.
“Kerajaan PH sudah banyak membantu peniaga yang suka mengelak cukai, ekonomi gelap dan orang kaya yang kebanyakan di negeri kaya. Mengapa pula negeri yang miskin tidak mahu ditolong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette