Home Dunia Pyongyang minta pertemuan kedua dengan Trump

Pyongyang minta pertemuan kedua dengan Trump

Kim Jong-un. foto Nikkei Asian Review

WASHINGTON – Presiden Donald Trump telah menerima surat daripada Kim Jong-un yang mahu mengadakan pertemuan kedua.

Jurucakap White House, Sarah Sanders berkata, pihaknya sedang mengaturkan pertemuan berkenaan.

Kedua-dua pemimpin telah membincangkan tentang usaha menghentikan program nuklear Korea Utara sejak sidang kemuncaknya pada 12 Jun lalu.

Pertemuan itu bagaimanapun dikritik kerana tidak mempunyai perincian mendalam bagaimana dan sama ada pemimpin Korea Utara itu bersetuju untuk menghentikan program senjata nuklear yang mengancam Amerika Syarikat.

Tarikh pertemuan kedua itu bagaimanapun tidak jelas.

Pertemuan semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini dilihat sebagai peluang kepada perjumpaan Trump dan Jong-un meskipun Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton meramalkan pemimpin Korea Utara itu tidak akan hadir.

“Tujuan utama surat itu adalah untuk meminta dan menjadualkan pertemuan lain dengan Presiden, yang mana kami terbuka mengenainya dan dalam proses menyelaraskannya,” kata Sanders.

Sanders memberitahu, surat itu menunjukkan komitmen berterusan untuk fokus kepada menghentikan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Malah, katanya, perarakan tentera di Pyongyang pada Ahad lalu adalah petanda baru apabila Korea Utara tidak mempamerkan sebarang peluru berpandu nuklear jarak jauh. – MalaysiaGazette