Home Politik Perbincangan kosongkan kerusi Parlimen untuk Anwar turut libatkan Wan Azizah- Rafizi

Perbincangan kosongkan kerusi Parlimen untuk Anwar turut libatkan Wan Azizah- Rafizi

Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2018
Rafizi Ramli. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2018

KUANTAN – Pengosongan kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Presiden PKR (yang dipilih) Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun dibincangkan sebelum ini bersama beliau dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dirinya dan beberapa pemimpin lain, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menurutnya, perbincangan itu hanya melibatkan beberapa individu yang rapat dengan Anwar kerana memang dari segi operasi dan kempen parti itu selama ini, hanya mereka yang lebih rapat yang terlibat.

“Saya tidak akan sebut sesuatu yang melibatkan Datuk Seri Anwar dan Wan Azizah tanpa persetujuan mereka.

“Cuma ada keputusan penting tidak dibincangkan dengan semua dan hanya akan dilakukan dengan beberapa orang di kalangan kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Reformasi 20 tahun di Kompleks Dagangan Indera Mahkota di sini malam tadi.

Naib Presiden PKR Tian Chua sebelum ini mengeluarkan kenyataan menyelar Rafizi kerana disifatkan mendahului Wan Azizah apabila mengumumkan akan ada kerusi Parlimen dikosongkan pada minggu hadapan bagi memberi laluan kepada Anwar sebagai persiapan untuk menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-lapan.

Tian Chua mempertikaikan tindakan itu yang dikatakan dilakukan secara sorok-sorok dan tidak diketahui oleh peringkat pimpinan parti.

Mengulas lanjut tentang kenyataan itu, Rafizi berkata terpulang kepada Tian Chua untuk membuat sebarang kenyataan hal tersebut.

“Saya tidak baca kenyataannya, itu haknya …, saya faham mungkin dia rasa janggal kerana tidak dilibatkan dalam proses itu,” katanya.

Sementara mengulas tentang cakap-cakap tentang berlaku politik wang dalam pemilihan kali ini, Rafizi berkata PKR juga tidak dapat lari daripada masalah itu, sama seperti yang dihadapi oleh parti politik lain di negara ini.

“Apabila ada kuasa, ada kecenderungan untuk berkempen dengan menggunakan jawatan, namun perkara ini telahpun diberikan amaran oleh Anwar dan Wan Azizah.

“Kita tidak mahu, hanya kerana kita telah ada (jawatan) menteri, jawatan itu menjadi tawaran untuk mendapatkan sokongan. Kalau ada kejadian seperti itu kita telah ada prosedur untuk mengendalikannya.

“Bezanya kita dengan parti lain, kita tidak sembunyi. Parti lain tabur duit dan sebagainya, namun bila wartawan tanya mereka menafikan. Kita cakap awal, kalau ada sesiapa nak gunakan wang untuk dapat jawatan kita minta lapor untuk diambil tindakan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette