KUALA LUMPUR – Pendedahan Tan Sri Muhamamd Shafee Abddullah yang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak beliau menjadi Pendakwa Raya Khas bagi perbicaraan liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan Perdana Menteri itu pernah mencampuri urusan negara semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Malah, Dr Mahathir juga didakwa menggunakan ugutan dan mengutamakan agenda peribadinya.
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pendedahan peguam tersohor itu pasti digeruni kerana ia membongkar keburukan Dr Mahathir.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu berkata, mana mungkin Shafee membuat kenyataan mengejutkan itu tanpa asas apatah lagi jika bertujuan fitnah memandangkan beliau seorang peguam yang boleh dipercayai.
“Shafee mendedahkan Najib keberatan dengan permintaan Dr Mahathir itu yang boleh menyinggung perasaan Tan Sri Ghani Patail.
“Berkemungkinan Dr Mahathir juga telah memanggil Ghani sehingga akhirnya perlantikan Shafie sebagai Pendakwa Raya Khas kes Sodomi II melalui kaedah “fiat” dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Puad, jalan ceritanya hampir sama apabila Dr Mahathir mengadakan perjumpaan tertutup dengan UMNO Johor di Hotel Pullman Putrajaya.
Dalam pertemuan itu, dakwanya, Dr Mahathir memaklumkan beliau telah berjumpa dengan Najib dan Najib bersetuju membina semula jambatan bengkok dengan syarat UMNO Johor juga bersetuju.
Menurut Puad lagi, bagaimanapun UMNO Johor tidak bersetuju dan ia menjadi satu sebab Dr Mahathir marah dengan Najib.
Lebih mengejutkan, Matthias memaklumkan Dr Mahathir ada enam tuntutan terhadap Najib dan jika ia tidak dipenuhi, Dr Mahathir akan menentang Najib habis-habisan.
Katanya, kenyataan Shafee tempoh hari itu turut mendedahkan bahawa Dr Mahathir telah ‘tikam belakang’ Anwar.
Beliau bimbang Anwar menang kes liwat dua dan mahu Anwar dipenjarakan.
“Sekarang dia terpaksa membebaskan Anwar, sebab itu mana mungkin Anwar akan menjadi Perdana Menteri ke-8,” katanya.
Puad mahu Dr Mahathir dan Matthias Chang perlu tampil membuat penjelasan kerana kenyataan Shafee itu melibatkan pendedahan serius dan mencabar kredibiliti termasuk konspirasi memfailkan saman di Pejabat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
Katanya, rakyat, Majlis Peguam, UMNO, Pas, badan-badan kerajaan (NGO) termasuk NGO guaman perlu membuat laporan polis.
Polis juga, kata Puad, mesti secara professional membuat siasatan penuh. – MalaysiaGazette