KUALA LUMPUR – Tun Daim Zainuddin mengingatkan pemimpin Melayu dalam kerajaan agar menunaikan segala janji yang pernah diberikan kepada pengundi di kawasan masing-masing.
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu berkata, wakil rakyat yang menipu pengundi terutamanya orang Melayu tidak boleh diterima sebagai pemimpin.
“Tiap-tiap janji kita mesti tunaikan selain daripada ia adat orang Melayu ini cara islam.
“Kita tak mahu orang Melayu yang diberikan amanah tipukan orang Melayu sendiri
“Ini kita tak boleh terima, kita ada ketuanan Melayu, ada adat dan agama,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sembang Santai bersama warga Titiwangsa di Kelab Sultan Sulaiman, di Kampung Baru di sini hari ini.
Daim berkata, wakil rakyat perlu sedar bahawa tanpa sokongan rakyat mereka tidak ada kedudukan seperti mana yang dikecapi pada hari ini.
Katanya, rakyat adalah raja dan wakil rakyat yang dipilih semasa Pilihan Raya Umum lalu perlu bekerja untuk mereka.
Ujar beliau, wakil rakyat perlu selalu menyedari bahawa mereka sebenarnya adalah hamba kepada rakyat yang perlu sentiasa menabur bakti.
“Kalau kita boleh selesaikan masalah orang Melayu Insyaallah kita bioleh selesaikan masalah negara. Ini yang penting.
“Masalah negara adalah masalah orang Melayu. Bila kita selesaikan masalah orang Melayu maka masalah negara pun akan selesai. Sebab yang miskin adalah orang Melayu,” ujarnya.
Daim berkata, jika tidak pemimpin Melayu yang selesaikan masalah bangsanya sendiri, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk selesaikan masalah nasib bangsa yang terbesar dalam negara ini.
Tambah beliau, meskipun kerajaan terdahulu diperintah oleh orang Melayu namun, masalah besar yang duhadapi oleh golongan tersebut terutamanya isu kemiskinan tidak juga dapat diselesaikan.
“Selagi kita tak tukar fikiran, kita akan jadi seperti dulu tak selesai masalah,” katanya. – MalaysiaGazette