Home Politik Ke mana Anwar

Ke mana Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Pelancaran Buku Anwar Return The Final Twist di Hilton Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2018

PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bakal mengumumkan kerusi Parlimen yang mana satu akan dilepaskan wakil rakyatnya bagi memberi laluan kepada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Perkara itu disahkan sendiri Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang dihubungi MalaysiaGazette awal pagi tadi susulan berlaku pertindihan masa sidang media khas pengumuman itu dari jam 11 pagi kepada 2.30 petang.

Keputusan PKR mengenai kerusi yang bakal ditandingi Anwar itu bakal diumumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media khas yang ditetapkan pada 12.30 tengah hari nanti.

Semalam Saifuddin berkata, perkara itu akan diumumkan parti sekembalinya Anwar dari Hong Kong.

Saifuddin turut dilaporkan berkata, kerusi yang bakal ditandingi bosnya itu bukan lagi dari kawasan utara Semenanjung seperti mana sebelum ini di Parlimen Permatang Pauh.

Sebaik sahaja kerusi itu diumum dan dikosongkan, satu Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen terbabit bakal diadakan dalam masa terdekat dan menjadikannya pilihan raya keempat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Sebelum ini tiga pilihan raya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor telah dijalankan antara PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos manakala dua lagi iaitu PRK Seri Setia dan PRK Balakong pula pada 8 September lalu.

Pilihan raya itu bagi membolehkan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri dan  peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14. – MalaysiaGazette