KUALA LUMPUR – Desakan lebih 50 mahasiswi daripada Gabungan Pembebasan Akademik IPT agar Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik meletakkan jawatan selaku Presiden Universiti Islam Antarabangsa gagal apabila perkara itu tidak dilayan beliau.
Menurut Maszlee, perkara itu tidak boleh berlaku disebabkan perlantikan beliau mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan universiti itu.
“Ini bukan bidang kuasa saya (untuk letak jawatan), saya dilantik (oleh) UIA dan lakukan perubahan.
“Perlu ada sesi konsultasi dengan pihak berkepentingan yang lain dalan UIA. Saya perlu mendengar pendapat mereka kerana UIA sedia melakukan banyak perubahan untuk mengembalikan kegemilangan universiti itu,” katanya dalam sidang media di Restoren Anjal di ibu negara.
Sebelum ini, Maszlee mengadakan pertemuan dengan kira-kira 50 mahasiswa bermula jam 6.30 petang itu berkisar tentang tuntutan mereka yang mendesak agar Maszlee meletakan jawatan.
Pertemuan itu diadakan ekoran protes berhubung pelantikan Maszlee selaku presiden universiti terbabit dengan diketuai Asheeq Ali Sethi Alivi.
Asheeq Ali, 23, bersama Siti Nurizzah Mohamad Tazali, 23, ditahan polis Sabtu lalu selepas enggan bersurai dari kawasan hadapan pintu masuk utama Parcel E, Putrajaya yang menempatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan.
Dalam pada itu, mahasiswa yang tidak berpuashati dengan kenyataan Maszlee, bertindak mengadakan protes.
Laungan ‘letak jawatan, undur Maszlee, dan bebaskan mahasiswa kedengaran tatkala beliau meninggalkan premis.
Maszlee dilantik menggantikan Tan Sri Rais Yatim sebagai presiden ke-8 UIA.
Kerusi itu kosong sejak tempoh perkhidmatan 5 tahun Rais tamat pada Jun lalu.
Pelantikan Maszlee turut didukung Rektor UIAM, Prof Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak yang menekankan kepentingan dalam menegakkan autonomi universiti supaya dapat mewujudkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang mampu menghasilkan graduan holistik.
Tempoh lantikan Maszlee adalah untuk tiga tahun. -MalaysiaGazette