Home Politik Zuraida tetap bantu Anwar dalam PRK Parlimen Port Dickson

Zuraida tetap bantu Anwar dalam PRK Parlimen Port Dickson

Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin hari ini menyatakan sokongan serta akan membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Beliau yang sebelum ini mendakwa keputusan mengosongkan kerusi Parlimen itu dibuat tanpa mengikut saluran yang betul, berkata sebagai anggota yang setia pada parti, beliau akan tetap memberi sokongan namun berharap perkara sama tidak berulang.

“Perkara ini telah berlaku, kita perlu lupakannya dan tunggu tarikh pilihan raya. Sebagai anggota parti saya akan perjuangkan untuk parti,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga kanak-kanak yang maut terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 17, Blok A, Projek Perumahan Rakyat Kota Damansara, di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson telah diputuskan melalui mesyuarat Biro Politik PKR dan Zuraida sendiri merupakan anggota biro berkenaan.

Ditanya sama ada beliau menghadiri setiap mesyuarat Biro Politik PKR, Zuraida sekadar berkata: “Attendance (kehadiran) saya adalah yang terbaik.”

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN dan PAS.

— BERNAMA