KUALA LUMPUR – Polis menahan 10 suspek yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas menerusi operasi yang dilancarkan di enam buah negeri antara 11 hingga 31 Ogos lalu.
Operasi yang dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu membabitkan Selangor, Pahang, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan pertama melibatkan sel yang terdiri daripada lima suspek dikenali Kumpulan Asoib atau ‘Pemuda dari timur’ di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu.
“Kelima-lima anggota sel yang beusia di antara 39 hingga 53 tahun merancang untuk bergabung dengan satu kumpulan pengganas dari sebuah negara di Timur Tengah bagi melancarkan serangan di
sebuah negara yang bersempadan dengan negara tersebut.
“Sel ini akan dibekalkan dengan pelbagai senjata oleh kumpulan
pengganas tersebut sejurus mereka tiba di sana,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohamad Fuzi, salah seorang anggota Asoib telah berlepas ke negara Timur Tengah itu bagi membuat persiapan dan menyelaras operasi serangan tersebut.
Tambah beliau, kumpulan itu memberi tafsiran salah terhadap hadis mengenai Imam Mahdi yang mana mereka percaya bahawa Imam Mahdi akan muncul di Mekah pada tahun ini.
Katanya, kumpulan itu akan bergabung dengan ‘Tentera Imam Mahdi’ untuk menyerang negara-negara sekular dan menentang Dajjal.
Tambah Mohamad Fuzi, satu lagi sel dikenali Kumpulan Ar Rayah Member yang terdiri daripada lima anggota berusia antara 18 hingga 50 tahun ditangkap pada 25 dan 31 Ogos lalu di Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang.
Jelasnya, suspek utama sel itu merancang untuk melancarkan serangan bom asap di tempat-tempat maksiat di sekitar Melaka.
“Turut dirampas adalah lima bom asap adalah bertujuan untuk menimbulkan suasana panik dan kegemparan kepada pengunjung pusat-pusat hiburan dengan harapan keadaan panik tersebut boleh
mendatangkan kecederaan kepada mereka,” katanya.
Menuru KPN, susulan daripada tangkapan suspek utama pada 25 Ogos di Melaka, polis berjaya menahan empat lagi anggota sel yang sama pada 31 Ogos di Kelantan dan Pulau Pinang.
“Menarik perhatian adalah tangkapan ke atas seorang warganegara asing berusia 50 tahun yang bekerja sebagai peniaga restoran,” ujarnya.
Tambah beliau, suspek merupakan anggota kumpulan pengganas dari sebuah negara Asia Tenggara yang bertindak mempromosikan perjuangan kumpulan tersebut kepada anggotra kumpulan
Whatsapp ‘Ar Rayah Member’.
Menurutnya, suspek juga berperanan mempengaruhi anggota kumpulan untuk menyumbang dana bagi kumpulan pengganas tersebut membeli senjata api dan peluru.
Mohamad Fuzi berkata, kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat
mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-
Langkahj Khas) 2012 (Akta 747). – MalaysiaGaette