Home Nasional Portal JobsMalaysia 2.0 dilancar

Portal JobsMalaysia 2.0 dilancar

Kulasegaran
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2018.

CYBERJAYA – Portal JobsMalaysia 2.0 menyediakan 162,000 peluang pekerjaan dalam sembilan kategori untuk graduan dan pencari pekerjaan warga tempatan dilancarkan hari ini.

Portal yang dikemaskini daripada versi asal dengan kos penambahbaikan sebanyak RM24.5 juta itu memberi keutamaan kepada warga tempatan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, portal baharu itu menampilkan ciri pemadanan automatik dan mengesyorkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dan tawaran peluang tersebut diemel kepada calon.

“Ia menampung sehingga 19 juta pengguna berdaftar dan mampu mengendalikan 40,000 capaian secara serentak dalam satu-satu masa.

“Ia juga dilengkapi dengan ciri ujian minat kerjaya berasaskan psikometrik sebagai panduan kepada pemohon dalam menentukan kerjaya dan boleh dimuat turun di Android Google Play Store atau Aplikasi Apple iOS,” katanya pada sidang media selepas melancarkan portal berwajah baharu itu di Pusat JobsMalaysia di sini.

Tambah Kulasegaran, portal versi baharu itu sepatutnya siap dan dilancarkan pada 2016 selepas dimulakan pada tahun 2015 namun ia menghadapi kelewatan sehingga 2018.

“Kalau ikutkan kerajaan terdahulu BN telah menyerahkan projek dengan kos jutaan ringgit itu kepada MIMOS pada 2015 untuk membangunkan dan menaiktaraf portal itu dan sepatutnya siap setahun kemudian.

“Namun oleh kerana peralihan pada data-data pencari pekerjaan yang merangkumi ratusan ribu orang selain pemasangan perisian baharu mengakibatkan ia mengambil proses lama untuk disiapkan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mahu kelewatanyang berkemungkinan mempunyai unsur rasuahatau ketirisan itu disiasat, Kulasegaran berkata, terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukannya.

Beliau berkata, sistem baharu itu menggunakan geospatial bagi mencari peluang pekerjaan merentasi pemetaan geografi mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen secara visual dan interaktif oleh pegawai Jobs Command Centre.

Kata beliau, keseluruhan sistem JobsMalaysia 2.0 dibangunkan dengan kod piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) sebagai penanda aras nasional bagi pengelasan pekerjaan dalam struktur guna tenaga negara.

“Sejak Januari 2018 hingga Ogos lalu, kita telah berjaya menempatkan seramai 124,000 pencari dalam sembilan kategori pekerjaan yang diperlukan dan juga mengikut pilihan utama mereka.

“Antara kategori tumpuan adalah bidang pengurusan, profesional juruteknik profesional dan bersekutu, pertanian, perhutanan, perikanan, operator loji dan pemasangan yang diperlukan majikan di seluruh negara.

“Kos pengiklanan kekosongan pekerjaan oleh majikan dan pendaftaran data peribadi serta butiran bidang pekerjaan yang didaftarkan pencari pekerja ialah percuma dan tiada sebarang bayaran dikenakan,” ujar beliau.

Sejak 2015 hingga 2018 Jobs Malaysia telah menempatkan 223,967 pencari pekerjaan yang terdiri daripada golongan siswazah dan bukan siswazah.

Pada 2016 seramai 176,105 orang mendapat pekerjaan menerusi portal itu diikuti 2017 seramai 183,433 orang dan 124,118 orang pada 2018 sehingga kini. – MalaysiaGazette