KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram berkata agak sukar untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam masa setahun.
Menurutnya, pihak berkuasa pastinya akan berhadapan dengan pelbagai peringkat siasatan kerana isu ini melibatkan pelbagai proses transaksi dan beberapa negara terlibat.
“Bukan mudah untuk polis untuk menyiasat apa yang berlaku di tempat lain, jadi kerana itu saya kurang yakin dapat diselesaikan dalam masa setahun.
“Saya harap polis akan siasat dengan teliti dan akan dapat bongkar segala maklumat tetapi skandal ini begitu luas implikasi dan melibatkan begitu ramai pihak. Saya kurang yakin siasatan ini dapat diselesaikan dalam masa yang singkat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan buku ‘Till Debt Do Us Part’ hasil karya Prof Dr. Mohd Nazari Ismail di Bangunan Azman Hashim, Universiti Malaya (UM) hari ini.
Dr Jomo berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim semalam.
Dalam satu sidang media semalam, Noor Rashid berkata, sebanyak RM2.973 bilion wang daripada 1MDB dikesan dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mengulas lanjut, Dr Jomo berkata, proses itu sukar kerana lapan siasatan ke atas skandal itu pernah dibuat namun masih menemui jalan buntu.
“Kalau kita lihat siasatan yang sudah berlaku ada lapan kes daripada SPRM, BNM, DOJ, Kerajaan negara luar, Sarawak Report bongkarkan, pendedahan Tony Pua dan Rafizi.
“Banyak yang telah berlaku, malah Peguam Negara dan PAC pun buat siasatan. Tetapi siasatan ini tidak diselaraskan dan bila ada percanggahan tentang apa yang telah berlaku belum dapat dijelaskan lagi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak penyiasat 1MDB perlu mengambil kira mengenai keberadaan Jho Low kerana beliau mengjangkakan akan lebih banyak bukti-bukti bakal timbul sepanjang siasatan itu dijalankan.
“Bagaimana kita nak selesaikan sebab banyak perkara sebenarnya. Kes 1MDB ini bukan sesuatu yang mudah dibongkar.
“Katakan ada perjanjian yang dibuat dengan Jho Low, dan dia buka rahsia yang baharu selama ini kita tidak tahu.
“Mungkin ada rahsia baru yang belum kita fikirkan lagi. Jadi saya harap apa yang PDRM janjikan itu dapat diselesaikan tapi memandangkan apa yang kita tidak tahu lagi banyak, saya kurang yakin.
“Tetapi saya harap mereka berjaya selesaikan kes ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette