IPOH – Rekod Sukan Malaysia (Sukma) berusia lapan tahun lebur menerusi acara angkat berat lelaki 56kg oleh badang Selangor, Mohd Yusoff Nandong pada edisi ke-19 di Dewan Merdeka, Tapah semalam.
Mohd Yusoff, 20, melakukan angkatan bebanan 116 kg sekali gus memadamkan rekod atlet kebangsaan dari Kedah, Mohd Shafiq Ismail dengan angkatan 115kg dalam kategori snatch, selain membuat angkatan 137kg bagi clean and jerk berbanding catatan sebelum ini 136kg.
Sumbangan dua pingat emas menerusi acara angkat berat dan satu daripada acara berpasukan wanita badminton menyaksikan Selangor naik satu anak tangga di kedudukan kesembilan setakat hari keempat temasya sukan berkenaan berlangsung.
Terengganu masih kukuh di kedudukan teratas dengan 10 pingat emas, lapan perak dan sembilan gangsa, diikuti Pulau Pinang (10 emas, enam perak dan lima gangsa) manakala Melaka di tempat ketiga memintas Wilayah Persekutuan dengan kutipan tujuh emas, enam perak dan enam gangsa. Wilayah Persekutuan di tangga keempat dengan pungutan tujuh emas, lima perak dan 10 gangsa.
Di Arena Badminton Amanjaya, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh menyaksikan Pulau Pinang menamatkan penantian lapan tahun dalam acara berpasukan lelaki selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 3-0 pada perlawanan akhir.
Pulau Pinang turut cemerlang apabila mendominasi acara judo buat pertama kalinya sepanjang penyertaan kontinjen itu pada Sukma, dengan kutipan keseluruhan enam emas, dua perak dan dua gangsa.
Dua pingat terakhir dalam acara judo yang menutup tirai hari ini disumbangkan Amir Daniel Abdul Majeed dan Lim Yi Zheng dalam kategori Kata lelaki berpasangan manakala pasangan wanita dalam acara sama turut meraih emas menerusi Siti Nur Aisyah Che Adzmi@Azmi dan Tan Kei Yi.
Sabah pula meraih dua pingat emas pertama menerusi atlet lelaki dan wanita, masing-masing dalam acara perseorangan tenpin boling yang membuka tirai hari ini.
Pemburuan pingat diteruskan pada iniĀ menyaksikan karate membuka gelanggang dengan menawarkan tujuh pingat emas diikuti menembak (empat), angkat berat (empat), tenpin boling (dua), berbasikal lebuh raya (dua) dan pencak silat (dua).- MalaysiaGazette