Home Seni Hidup Anak Malaysia jadi finalis Google’s Demo Day

Anak Malaysia jadi finalis Google’s Demo Day

KUALA LUMPUR – Teknologi HR moden Swingvy yang diasaskan seorang rakyat Malaysia bersama tiga rakannnya dari Korea berjaya menempatkan diri di antara 10 finalis dalam Google’s Demo Day buat julung kalinya di Asia, dijadualkan pada 20 September ini di Shanghai, China.

Swingvy dalam satu kenyataan berkata, inovasi Tho Kit Hoong bersama pasukannya dalam memperkasakan pekerja di pejabat melalui teknologi HR moden itu mampu mencipta sejarah di Shanghai nanti.

 Tho Kit Hoong
Tho Kit Hoong

“Ia merupakan satu penghormatan dan penghargaan buat saya sebagai rakyat Malaysia yang pertama, berjaya menempatkan diri di peringkat antarabangsa dalam Google’s Demo Day Asia.

”Saya sangat berbesar hati dengan semangat berpasukan yang kami miliki. Saya percaya peluang ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia boleh mencapai sesuatu di peringkat global, Malaysia Boleh!” kata Kit Hoong yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Demo Day Asia dianjurkan buat pertama kalinya oleh Google di Asia.

Ia memberi peluang kepada individu yang memiliki kemahiran untuk tampil menterjemahkan idea baru dan berinovasi kepada panel tertinggi yang terdiri daripada Google for Entrepreneurs, Sequioa Capital and Venturra Capital.

Teknologi HR Swingvy yang diwakili rakyat Malaysia-Korea itu akan bertanding bersama peserta lain dari China, Thailand, Singapura, Australia, Jepun, Pakistan, Indonesia dan India.

“Daripada 305 penyertaan yang layak, hanya 10 finalis yang berjaya melayakkan diri di peringkat akhir Google Demo Day Asia,” kata Pengurus Bersama, Google For Entrepreneurs, Michael Kim.

Pemenang akan menerima pembiayaan daripada pelabur dan Google Cloud Platform mencecah AS$100,000. – MalaysiaGazette