PUTRAJAYA – Hanya dengan bayaran semaksimum RM450, seseorang berpeluang mendapat kepuasan nafsu selama 45 minit daripada gadis warga asing.
Namun taktik aktiviti terlarang itu tidak bertahan lama apabila ditumpaskan Jabatan Imigresen dengan tertangkapnya sindiket yang didalangi warga tempatan itu hari ini.
Bahagian Risikan, Operasi Khas dan Analisa (Unit Operasi Khas), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengadakan satu Operasi Ikrar (Ops Gegar) bermula 14 hingga 15 September lalu di dua buah hotel bertaraf 4 bintang di Petaling Jaya dan Subang Jaya dengan menggunakan kekuatan 15 orang pegawai.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil aduan dan maklumat awam dan risikan yang dijalankan oleh unit itu berjaya mengesan dan menumpaskan aktiviti sindiket yang didalangi warga tempatan tersebut.
“Sindiket itu dengan Modus Operandi (MO) menggunakan aplikasi wechat memuat naik gambar mengiklankan wanita-wanita asing dari beberapa negara yang berbeza seperti Mongolia, Uzbekistan, Krgystan, Kazakstan, China, Vietnam dan Indonesia.
“Ia merupakan taktik mengaburi mata lelaki-lelaki hidung belang dengan pengiklanan palsu dengan mendakwa wanita ini ialah gadis-gadis dari Jepun dan Korea.
“Harga yang ditawarkan pula bermula dari RM300 hingga RM450 untuk perkhidmatan seks selama 45 minit. Mereka meletakkan wanita-wanita ini di bilik-bilik yang berbeza di hotel berkenaan untuk menyukarkan pihak berkuasa mengesan aktiviti tidak bermoral ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pada serbuan hari pertama di sebuah hotel yang terletak di Petaling Jaya, wanita-wanita ini diletakkan di bilik di tiga aras yang berbeza, namun dapat dikesan oleh pegawai operasi.
Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menahan sembilan orang wanita Mongolia, seorang Krgyzstan, seorang Uzbekistan, dua wanita China dan seorang wanita warga Vietnam selain dua lelaki warga tempatan yang disyaki sebagai penjaga dan pekerja sindiket pelacuran itu.
Ujar beliau rentetan tangkapan hari pertama, pihaknya turut mendapat maklumat sindiket berkenaan terlibat dalam aktiviti yang sama di sebuah hotel lagi di Subang Jaya.
“Maka kita telah menyerbu lokasi itu pada hari berikutnya walaupun berdepan sedikit kesukaran kerana tidak mendapat kerjasama dari petugas-petugas hotel walaupun telah dijelaskan tentang serbuan dan pemeriksaan yang hendak dijalankan hingga hampir menjejakan proses pemeriksaan dan tangkapan.
“Pihak hotel juga mendapatkan bantuan dari polis kerana mencurigai kesahihan kehadiran pegawai Imigresen ditunjukkan kad kuasa oleh pegawai kanan yang terlibat untuk pemeriksaan sebelum pasukan terpaksa menunggu kehadiran anggota polis dan mengesahkan kesahihan pegawai kami.
“Walaupun tertangguh hampir dua jam pegawai-pegawai lain telah diarahkan untuk membuat kawalan di aras-aras yang disyaki terdapat aktiviti pelacuran dijalankan di hotel tersebut.
“Hasil pemeriksaan akhirnya dapat menahan seramai empat wanita Mongolia, tiga, wanita warga China, dua wanita Indonesia, seorang wanita Kazakstan, seorang warga Thailand juga seorang wanita Vietnam,” katanya.
Katanya, di lokasi sama, Jabatan Imigresen turut menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki sebagai penjaga dan pekerja sindiket dan seorang lelaki Bangladesh yang merupakan pembantu kesemua wanita tersebut.
Menurut beliau, seorang lagi lelaki Bangladesh disyaki pekerja kebersihan hotel itu turut ditahan selepas gagal menunjukkan pasport sah semasa pemeriksaan.
Kata Mustafar, operasi selama dua hari ke atas beberapa hotel lain yang disyaki didalangi oleh sindiket yang sama sekali lagi membawa kepada tangkapan 26 orang wanita warga asing dari pelbagai negara, dua lelaki warga asing dan lima warga tempatan yang disyaki pekerja sindiket itu.
“Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM10,070 hasil daripada kegiatan pelacuran, sebanyak 18 Borang 29 (Saman Saksi) dikeluarkan kepada pelanggan dan para pekerja hotel berkenaan untuk membantu siasatan.
“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan susulan,” tegas beliau lagi sambil menyeru orang ramai tampil mengadu jika terhidu kegiatan tidak bermoral itu di kawasan mereka. – MalaysiaGazette