HAWTHORNE, Amerika Syarikat – Jutawan popular Jepun, Yusaka Maezawa membuat kejutan dengan mengundang lapan artis seluruh dunia bagi menyertainya mengelilingi bulan dengan pesawat SpaceX pada 2023.
Agensi berita melaporkan, Maezawa yang dinobatkan sebagai pengembara pertama dunia mengelilingi bulan menggunakan roket itu yakin kehadiran artis akan membawa faedah kepada dirinya dan masyarakat secara umum.
Maezawa yang juga merupakan hartawan fesyen dalam talian dan berada di tangga 18 orang terkaya Jepun merupakan pengembara pertama sejak misi Apollo pada tahun 1972.
Beliau juga dikatakan akan membayar sejumlah wang sehingga berpuluh juta dolar untuk misi itu, terutamanya apabila melibatkan lapan artis yang baru sahaja diumumkan olehnya semalam.
“Saya amat menyukai bulan sejak kecil lagi, amat tertarik and sentiasa mengimpikan diri menghampiri bulan sautu hari nanti. Ini adalah impian sejak kecil dan kini saya tidak menyangka akan menjadi kenyataan dalam beberapa tahun akan datang ini.
“Pada masa yang sama, walaupun terpaksa berbelanja lebih namun saya cukup gembira untuk menawarkan jemputan kepada beberapa artis terkenal dunia yang pada saya akan membantu apabila mereka pulang kelak.
“Sudah tentu saya menaja mereka dengan tujuan untuk mereka menghasilkan sesuatu apabila pulang ke bumi kelak. Karya agung yang tidak ternilai harganya jika hendak dibandingkan dengan wang saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di ibu pejabat SpaceX yang juga merupakan kilang roket di Hawthorne, California.
Bagaimanapun, hartawan itu tidak mahu mendedahkan nama-nama artis yang akan diundang oleh beliau sebaliknya berkata, hanya akan membuat pengumuman apabila semua sudah muktmad.
“Ini bukan sesuatu yang boleh dibuat main, seperti anda berjalan-jalan di taman atau makan angin, sangat merbahaya dan memerlukan kecekalan,” tegasnya. – MalaysiaGazette