Home Politik PRU14 untuk tolak Najib, bukan PH terima UMNO

PRU14 untuk tolak Najib, bukan PH terima UMNO

Liew Chin Tong
Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata mustahil untuk rakyat menerima idea UMNO dalam membentuk Pakatan Malaysia kerana Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) jelas menunjukkan bahawa rakyat menolak parti itu.

Kata beliau, sekiranya PH menerima idea itu, maka kerajaan akan mensia-siakan mandat yang diberikan pengundi pada 9 Mei lalu.

“Pilihan Raya Umum adalah keputusan rakyat menolak UMNO dan Datuk Seri Najib. Ini sebenarnya mesej yang diberikan pengundi, bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, ini termasuk di Kelantan dan Terengganu, mereka pilih Pas bukan kerana mereka suka kepada parti itu tetapi mereka ingin menolak UMNO dan Najib dengan Pas.

“Malah di Pantai Barat mereka tolak UMNO dengan memilih Pakatan Harapan. Saya rasa apa yang telah kita capai pada PRU14 lalu adalah menubuhkan kerajaan PH dengan mandat rakyat,” katanya ketika ditemui media di Mercu UEM hari ini.

Chin Tong berkata demikian selepas menjadi ahli panel dalam diskusi Siri Ekonomi Rakyat anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin bahawa parti itu akan membentuk gabungan dengan MIC, MCA, Pas dan parti pembangkang di Sabah dan Sarawak untuk berdepan kerajaan PH.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, perkara itu tidak mustahil akan berlaku dengan berbekalkan formula yang betul dan utuh, mampu membentuk satu gabungan politik yang berupaya memberi tentangan hebat kepada PH.

“Tidak mustahil untuk UMNO, Pas, MIC, MCA, GPS di Sarawak dan Gabungan Bersatu Sabah, bergabung bersama PKR dan menubuhkan sebuah gabungan baharu ‘Pakatan Malaysia’, bukan lagi ‘Pakatan Harapan’,” katanya menerusi warkah untuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kenyataan dibuat bagi mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri yang mendakwa UMNO sudah musnah dan kerana itu Bersatu ditubuhkan.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, UMNO kini menunggu masa untuk dibubarkan kerana masih meneruskan idea dan mempertahankan legasi bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

“Kalau UMNO tidak boleh berpisah dengan Najib, saya rasa lebih ramai pemimpin UMNO akan keluar parti. Tetapi untuk mengelakkan persoalan legasi Najib, maka Datuk Khaled Nordin bicara tentang Pakatan Malaysia dengan PKR,” katanya. – MalaysiaGazette