Home Nasional Jho Low bawa masalah besar kepada UMNO – KJ

Jho Low bawa masalah besar kepada UMNO – KJ

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low adalah penyebab kepada masalah besar yang dihadapi partinya kini.

Dalam Twitter rasminya, Khairy berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membawa pulang Jho Low dan mengheretnya kemuka keadilan.

“Polis mengatakan mereka tahu di mana dia berada. Kerajaan (Pakatan Harapan) mengatakan ada bukti untuk menentangnya.

“Dia adalah seorang pembawa masalah yang sangat besar pada parti saya. Lakukan apa yang tidak kita (UMNO) buat. Bawa dia kembali menghadap keadilan,” katanya.

Ogos lalu, Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mencabar Jho Low supaya pulang ke Malaysia dan bersemuka dengan pihak berkuasa.

Ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu dikehendaki pihak berkuasa Malaysia dan beberapa negara lain atas peranannya dalam skandal 1MDB yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib pada Julai lalu, didakwa di mahkamah atas pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Polis sebelum ini berkata, pihaknya mempunyai maklumat mengenai lokasi terbaharu Jho Low.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

“Namun, kita tidak boleh mendedahkan di mana lokasi Jho Low itu berada atas faktor siasatan.

“Polis perlu berbincang dengan pihak berkuasa negara terbabit kerana ia membabitkan kedaulatan undang-undang negara itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, Khamis lalu.

Pada 11 Julai lalu, PDRM mengesahkan Jho Low dipercayai telah meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya dan perkara itu telah dimaklumkan melalui emel yang diterima daripada pihak berkuasa Macau.

Emel itu memaklumkan bahawa Jho Low telah meninggalkan Macau dan pergi ke destinasi yang tidak disebutkan.

Pada 5 Julai, Jho Low disahkan sudah melarikan diri ke Macau.

Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Jho Low dipercayai menggunakan pasport negara lain pada masa ini selepas Jabatan Imigresen Malaysia membatalkan pasportnya pada 15 Jun lepas. – MalaysiaGazette