KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi Malaysia disemak semula kepada 4.9 peratus pada tahun ini dan 4.7 peratus pada tahun 2019.
Perbelanjaan isi rumah dijangka kekal sebagai pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia sehingga tahun depan.
Bagaimanapun, kebanyakan komponen permintaan domestik diunjur perlahan.
Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dalam laporan ekonomi untuk Asia Tenggara meramalkan perbelanjaan awam akan menjadi sederhana, mengambil kira langkah kerajaan yang menyemak semula projek-projek utama infrastruktur bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Selain itu, katanya, terdapat ketidaktentuan yang berlegar dalam keputusan fiskal kerajaan.
Laporan yang diterbitkan oleh Oxford Economic itu berkata, penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku kedua kepada 4.5 peratus berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya mengejutkan.
Tambahnya, import berkembang pada kadar lebih pantas daripada yang dijangkakan, dipacu oleh kenaikan dalam permintaan domestik.
Perbelanjaan isi rumah juga melonjak kepada lapan peratus tahun ke tahun mencerminkan peningkatan sentimen pengguna selepas kerajaan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan dan subsidi bahan api yang diperkenalkan semula.
Meskipun kerajaan komited untuk meningkatkan defisit fiskal, melaksanakan cukai jualan dan sebanyak enam peratus kepada barangan terpilih dan tertentu berbanding GST, ICAEW berpendapat, ia masih belum mencukupi untuk mengisi jurang pendapatan akibat pemansuhan GST.
Laporan itu menambah, jika kerajaan kekal komited untuk menurunkan defisit fiskal lebih besar pada tahun ini, kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan atau sumber pendapatan baharu perlu dijana. – MalaysiaGazette