Home Politik Sudah terbukti kerajaan PH pinggirkan Islam

Sudah terbukti kerajaan PH pinggirkan Islam

Ismail Sabri Yaacob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Rakyat sekarang dapat melihat dengan jelas kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminggirkan Islam dan kepentingan orang Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan PH juga terbuka mengiktiraf golongan LGBT.

“Rakyat boleh melihat bagaimana keterlibatan secara jelas pemimpin-pemimpin PH dalam menyokong fahaman Syiah yang selama ini kita tentang.Tidak cukup dengan itu satu hukum yang jelas dalam al Quran berkaitan hukuman sebatan syariah yang telah dilakukan di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu menjadi pertikaian terbuka dan mendapat tentangan dari seluruh kepimpinan kerajaan PH.

“Ini soal hukum Islam.Penentangan ini bukan sahaja penentangan kepada hukum syariah itu sendiri tetapi merupakan penentangan kepada hak dan kuasa negeri yang sudah pasti hal yang berkaitan syariah dalam sesebuah negeri berada di bawah kelolaan sultan di negeri.

“Apakah Kerajaan PH cuba menyampaikan ‘pesanan’  bahawa mereka tidak peduli akan kuasa atau peranan sultan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, rakyat juga melihat dasar kerajaan PH hari ini juga tidak mesra terhadap usahawan Melayu bila ada cadangan untuk menarik balik geran usahawan melayu melalui Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Apakah nasib yang bakal menimpa usahawan Melayu?” soalnya lagi.

Justeru itu, Ahli Parlimen Bera itu menaruh kepercayaan dan keyakinan yang amat tinggi dari kerjasama UMNO-Pas kerana angka pada PRU-14 jelas menunjukkan 70 peratus undi orang Melayu diberikan kepada UMNO dan Pas dengan pecahan 46 peratus kepada UMNO dan 24 peratus kepada Pas.

Kerjasama itu, katanya, sudah pasti bakal membuka satu harapan bahawa pembangkang akan menguasai semula kerajaan.- MalaysiaGazette