PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed sepatutnya keluar daripada UMNO lebih awal lagi.
“Barangkali sudah sedar tetapi (tindakannya) lambat sikit, (patut) dia sedar awal lagi UMNO sudah rosak, (tetapi) baru hendak keluar sekarang tak apalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Anugerah Francais di sini hari ini seperti laporan Utusan Online hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu yang turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO kerana berasakan hala tuju diambil UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.
Dalam pada itu, ditanya sama ada Mustapa akan diterima menyertai Pakatan Harapan, Perdana Menteri berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut.
“Tak tau, beliau tak kata apa pun. Kalau beliau nak join (sertai) beliau perlu tunjuk berlainan dari dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette