Home Utama PRK Port Dickson 13 Oktober

PRK Port Dickson 13 Oktober

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson akan dilangsungkan pada Sabtu, 13 Oktober ini.

Perkara tersebut diumumkan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Othman Mahmood dalam sidang media di sini, hari ini.

SPR turut menetapkan tarikh penamaan calon pada 29 September dan tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 12 Oktober.

“SPR menerima pandangan pelbagai pihak dan merasakan tempoh 14 hari adalah sesuai untuk berkempen,”kata Othman ketika sidang media.

Jelasnya seramai 1,403 petugas pilihan raya dilantik bagi melancarkan PRK itu dan 39 premis digunakan sebagai pusat mengundi membabitkan keseluruhan 171 saluran mengundi.

“Seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi, iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku kedua 2018 yang dikemas kini sehingga 11 September lalu,” katanya.

Manakala menurut beliau, kos mengendalikan PRK Parlimen Port Dickson berjumlah RM3.6 juta.

Tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 9 Oktober.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong apabila penyandang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di situ.- MalaysiaGazette