Home Politik Tun M, Kit Siang dayus kerana tak berani tanya Raja Salman

Tun M, Kit Siang dayus kerana tak berani tanya Raja Salman

Ramesh Rao Krishnan Naidu

KUALA LUMPUR – Dua pemimpin utama parti pembangkang dilabel dayus kerana didakwa gagal mengambil kesempatan bertanyakan isu wang derma RM2.6 bilion sempena kedatangan Raja Arab Saudi ke Malaysia.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, kedua-dua mereka itu ialah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Raja Salman (Abdul Aziz Al Saud) dari Arab Saudi ada selama empat hari di negara ini sejak Ahad lepas, kenapa Mahathir dan Kit Siang tidak mahu pergi menghantar memorandum bertanyakan soal itu (wang derma RM2.6 bilion) kepada baginda?

“Mengapa berdiam diri dan ini menunjukkan kedua-dua mereka boleh digelar sebagai dayus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum itu, kedua-dua mereka antara pemimpin pembangkang paling banyak mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai penipu dalam isu yang sama sejak kebelakangan ini.

“Mereka (Mahathir dan Kit Siang) sebelum ini membuat tuduhan dengan berani untuk menarik sokongan dan menyemai kebencian rakyat kepada kerajaan ketika Raja Salman tidak berada di Malaysia,” katanya lagi.

Ramesh meramalkan kedua-dua mereka itu tidak menyangka Raja Salman akan hadir ke Malaysia membuat lawatan rasmi dan membuat beberapa komitmen besar di negara ini sebagai menandakan betapa eratnya hubungan antara kedua-dua negara.

“Mereka jadi terkejut dan takut apabila baginda berada di sini dan amat akrab dengan Najib.

“Mereka tidak menyebut pun nama Raja Salman sebaliknya Mahathir secara sinis memperlekehkan lawatan itu serta menuduh ada tetamu negara yang sanggup menipu bersama-sama dengan Najib,” ujarnya.

Tambah Ramesh, orang ramai sudah tidak mempercayai Kit Siang dan Mahathir selepas kegagalan mereka yang hanya menimbulkan persepsi bukan dengan cara mendapatkan penjelasan sendiri daripada Raja Arab Saudi ketika mereka berada di negara ini.

Kit Siang dan Mahathir sebelum ini mempersoalkan isu berkaitan 1MDB dan wang RM2.6 bilion yang didakwa datang dari sumber yang tidak diketahui.-MalaysiaGazette