Home Politik MP UMNO kini ‘diumpan’ masuk PPBM, PKR

MP UMNO kini ‘diumpan’ masuk PPBM, PKR

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO mengakui ada pemimpin parti itu diumpan dan menerima tawaran untuk keluar parti daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR.

Namun ujar Tan Sri Annuar Musa, parti tidak menghalang sesiapa pun ahlinya menerima apa juga tawaran ekoran tiada perjanjian dan peraturan untuk menghalangnya sebaliknya ia adalah hak dan pertimbangan masing-masing.

“UMNO sekarang ini melalui pelbagai cabaran ada campur tangan, akaun dibekukan ada umpanan-umpanan dan sebagainya.

“Sekarang ini saya terus terang mengatakan banyak tawar-menawar, pintu depan, pintu belakang, secara terang dan sebagainya.

“Kita tidak mungkin boleh mengawal ahli-ahli kita nak tambat nak ikat mereka dan saya tidak fikir politik seharusnya begitu. Maka terpulanglah pada istiqamah masing-masing dan pilihan terbuka luas perjalanan masih jauh sebagai sebuah parti politik maka individu-individu politik warnailah diri masing-masing.

“Dengan keadaan baru UMNO di luar (pembangkang) dan mereka kerajaan barangkali masing-masing sedang buat rundingan, jadi pilihlah.

“Ada tiga pilihan sekurang-kurangnya kepada pemimpin satu  boleh bantu Tun M memperkasakan partinya sebab Tun perlu kukuhkan partinya dalam Pakatan Harapan dan buat rundingan untuk itu.

“Pada masa yang sama Datuk Seri Anwar nak mengukuhkan partinya (PKR),” katanya.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang giat ‘membeli’ beberapa ahli Parlimen UMNO dengan tawaran sehingga RM20 juta untuk meninggalkan parti itu demi menjamin kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Annuar selain itu turut mendedahkan ada pemimpin yang meninggalkan parti demi kepentingan perniagaan.

Tidak menyebut siapakah pemimpin itu namun beliau berkata ada juga yang meninggalkan parti kerana sedang berhadapan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Semua yang keluar alasannya tak sama ada yang keluar kerana beritahu terus terang mereka ada kepentingan perniagaan dengan kerajaan dan kepentingan itu terlalu besar. Maka mereka memikirkan mereka perlu menyelematkan perniagaan mereka.

“Ada yang memberitahu keluar aebab disiasat SPRM ada juga keluar lepas disiasat tidak dapat tidur malam tiga malam dia tekanan. Ada juga yang keluar nak bentuk satu gagasan berbeza dengan apa yang ada dengan struktur UMNO sekarang jadi berbagai-bagai kita hormatinya,” tambahnya. 

Namun Annuar menafikan parti itu kini tenat seperti yang didakwa beberapa pihak dalam masa yang sama menegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh disalahkan ekoran perkembangan semasa itu. 

“Tidak perlu risau UMNO dah kurus, kata UMNO dah tenat. Eh.. baru dua keluar dah tenat. Orang lain berpecah dua tidak pula tenat? UMNO dalam proses untuk kita memperkasakan lagi nak nilai kita sila nilai dalam PRU-15. Ini baru empat bulan. 

“Jangan cuba nak nilai kepimpinan termasuk Datuk Seri Zahid dalam masa baru sebulan setengah pegang jawatan,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu lagi. -MalaysiaGazette

+ posts