Neelofa, 28, mengakui mengetahui perancangan Hans, 46, untuk bergelar suami sejak November lalu lagi.
“Saya tahu Hans mahu berkahwin kerana dimaklumkan oleh Hans sendiri pada November lalu. Sebagai kawan dan saling-mengenali selama lima tahun, saya gembira dengan pengumuman itu.
“Hans berhak untuk berasa bahagia dalam hidupnya,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian butik kedua, Naelofar Hijab di Publika di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Neelofa juga bersedia untuk hadir ke majlis perkahwinan Hans jika mendapat jemputan.
Wanita kelahiran Kelantan itu turut menjelaskan dia tidak mengenali bakal isteri Hans, Gabriela Robinson.
“Sebenarnya hubungan kami okay sahaja dan kami masih berhubungan apabila kali terakhir minggu lalu menerusi telefon bercerita mengenai hal masing-masing.
“Kami membawa haluan baharu masing-masing dan kekal positif dalam persahabatan,” katanya penuh ceria.
Dalam pada itu, pengacara program MeleTOP itu enggan mengulas tahap perhubungan dengan kerabat raja yang kecoh diperkatakan bulan lalu.
Semalam, Hans yang juga penerbit, pengarah dan pelakon mengumumkan dia memilih bekas ratu dan model terkenal, Gabriela, 28, sebagai isterinya.
Sementara itu, Neelofa dan Hans pernah menjadi pasangan kekasih selama dua tahun sebelum putus Februari 2014. – MalaysiaGazette