PETALING JAYA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan media mengenai kenyataan beliau berhubung kerusi perdana menteri telah disalahertikan dan tidak bermaksud apa-apa.
Ujarnya, kenyataan itu hanya gurauan yang dibuat di hadapan penuntut dari pelbagai kolej di Singapura, semalam.
“Saya kata kalau tidak dipenjara, saya nak berada di situ untuk angkat sumpah, sekarang (ketika itu) saya di penjara. Saya bergurau jadi berita utama.
“Yang saya ulas tidak diberikan penekanan, ia adalah bahawa peranan kita adalah memastikan kerajaan ini amat kuat di bawah kepimpinan Tun Mahathir untuk menyempurnakan proses perubahan yang amat mendesak,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.
Turun hadir, dua calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan Datuk Seri Azmin Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar berkata demikian setelah media merujuk kenyataannya yang mengaku timbul perasaan bahawa beliau yang sepatutnya mengangkat sumpat jawatan Perdana Menteri ketujuh Malaysia selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Putrajaya.
Dalam sesi dialog terbabit, Anwar ditanya seorang pelajar apa yang berlegar di fikirannya ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri mengatasi beliau.
“Saya rasa saya sepatutnya berada di situ. Betul, saya rasa ada begitu. Saya tak berbohong kepada anda, saya ada rasa begitu sepatutnya saya, bukan kamu (Tun Dr Mahathir),” jawab beliau. – MalaysiaGazette