PEKAN – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan kepercayaan dan kesetiaan anggota Parlimen UMNO yang meninggalkan parti dalam keadaan parti sedang diuji.
Beliau berkata, mereka selaku pemimpin yang diberi kepercayaan dalam UMNO, seharusnya setia kepada perti dan meneruskan perjuangan yang didukung selama ini.
“Kita mesti setia pada parti walau dalam apa jua keadaan yang menimpa… sama ada kita berkuasa atau tidak berkuasa. Apatah lagi dalam saat ini, yang mana parti amat memerlukan kita,” kata Anggota Parlimen Pekan itu semasa ditemui pada Program Bubur Asyura dan Santai Bersama Peneroka di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Chini di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman dua Anggota Parlimen UMNO iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman keluar parti baru-baru ini.
Mustapa yang merupakan Anggota Parlimen Jeli bertindak melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Anggota Majlis Tertinggi UMNO, pada Selasa lalu, atas alasan lagi tidak sealiran dengan parti.
Anifah selaku Anggota Parlimen Kimanis pula mengesahkan meninggalkan parti kurang 24 jam selepas Mustapa dengan berkata keputusan itu dibuat kerana mendakwa kerajaan sebelum ini gagal memperjuangkan hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963. – Bernama