KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 kes terbaharu mangsa keracunan alkohol dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan hari ini.
Ketua pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata tujuh daripadanya adalah di negeri Selangor manakala masing masing satu kes dilaporkan di Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.
“Pada hari ini satu lagi negeri telah dilaporkan kejadian keracunan metanol iaitu di Negeri Sembilan menjadikan empat negeri terlibat kejadian keracunan arak setakat ini.
“Secara keseluruhannya dengan pertambahan kes kes baharu keracunan metanol menjadikan jumlah kes keracunan arak di Selangor merekodkan 62 kes dan Kuala Lumpur 16 kes, Perak (7) dan Negeri Sembilan sartu kes,” katanya dalam kenyataan yang dikemaskini perkembangannya setakat malam ini.
Untuk makluman, bermula dari 15 September sehingga 22 September 2018 jam 12.00 tengahari, Noor Hisham memaklumkan bahawa KKM telah menerima sejumlah 86 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasiliti-fasiliti kesihatan KKM.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada penambahan pada angka kematian akibat keracunan alkohol.
Dengan ini jelas beliau, jumlah keseluruhan kematian kes berkenaan masih kekal pada paras 29 kes iaitu 18 di Selangor dan sembilan di ibu negara dan dua di Perak.
“Daripada kes-kes yang menerima rawatan di hospital, secara keseluruhannya sebanyak 16 pesakit telah didapati stabil dan didiscaj dari hospital.
“Sebanyak 41 kes masih lagi menerima rawatan di sebelas (11) buah hospital di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Daripada 41 pesakit yang masih dirawat ini, 16 pesakit adalah kes kritikal manakala 25 pesakit masih menerima rawatan di wad,” ujar beliau lagi.- MalaysiaGazette