Home Nasional Saya lebih bimbang usaha perangi rasuah berbanding persepsi – Nazri

Saya lebih bimbang usaha perangi rasuah berbanding persepsi – Nazri

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jualan Nasional Malaysia 2017 di Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 01 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz lebih bimbang mengenai langkah-langkah memerangi rasuah daripada bimbang persepsi masyarakat terhadap indeks rasuah di negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, kedudukan Malaysia yang jatuh daripada tahun ke tahun adalah tidak benar namun mengakui masyarakat mempercayainya.

“Saya tidak risau mengenai persepsi terhadap indeks rasuah di negara ini. Tiada benar tapi masyarakat percaya dengan apa yang mereka percaya. Sudah bertahun kita di paras yang rendah dalam indeks rasuah oleh Transparency International-Malaysia (TI-M).

“Malah kita lantik bekas presidennya Datuk Paul Low sebagai ahli Kabinet tapi saya tidak bimbang sama ada akan beri kesan kepada pelancongan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Kajian Barometer Rasuah Global (Asia Pasifik) oleh Transparency International mendapati jumlah rakyat Malaysia yang yakin masalah rasuah di negara ini kian memburuk meningkat dua kali ganda sejak tahun 2014.

Dalam kajian itu, sebanyak 60 peratus rakyat di negara ini bersetuju dengan tanggapan itu manakala sebanyak 27 peratus lagi berpendapat tahap rasuah di Malaysia kekal manakala 11 peratus lagi menganggap ia menurun.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas lebih bimbang mengenai cara membendung rasuah dilakukan dan berpendapat perkara itu tidak seharusnya diletakkan di atas bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja.

“Saya lebih bimbang mengenai bendung rasuah sebagaimana SPRM buat sekarang dan mereka sudah buat yang terbaik dan kita perlu beri sokongan kepada mereka dan jangan jatuhkan moral mereka,” katanya lagi.

Dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016, Malaysia berada di tangga ke-55 daripada 176 negara dan tiga negara teratas dalam kalangan negara ASEAN.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata, Malaysia mencatat skor 49 daripada 100 dalam tinjauan CPI.

Berbanding negara ASEAN lain, Malaysia berada di bawah Singapura (kedudukan ke-7) dan Brunei (ke-41) namun di atas Indonesia (ke-90), Filipina (ke-101), Thailand (ke-101), Vietnam (ke-113), Laos (ke-123), Myanmar (ke-136) dan Kemboja (ke-156).

Pada tahun 2015, Malaysia berada dalam kedudukan ke-54 disebabkan penambahan sembilan lagi negara lain dalam CPI 2016.

Pengiraan indeks tersebut berdasarkan tinjauan dan penilaian rasuah yang diambil dari pelbagai institusi bereputasi bagi menilai tahap persepsi rasuah dalam sektor awam. – Malaysia Gazette.