Home Politik Beberapa pemimpin UMNO Perlis dijangka sertai BERSATU – Wan Saiful

Beberapa pemimpin UMNO Perlis dijangka sertai BERSATU – Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan

KANGAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis mendakwa beberapa  orang pemimpin UMNO negeri ini akan menyertai parti itu.

Setiausahanya Wan Saiful Wan Jan berkata beberapa pertemuan dan rundingan dengan pemimpin berkenaan telah dan masih berjalan serta menunjukkan tanda-tanda positif.

“Saya fikir masanya tidak lama lagi mereka menyertai BERSATU. Bagaimanapun, saya tidak boleh dedah nama pemimpin berkenaan sehingga segala-galanya diputuskan.

Kami bersedia terima mereka yang kecewa dengan UMNO negeri berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas,” katanya kepada media semasa  ditemui  selepas  meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis yang rosak dipukul ribut Isnin lepas, di sini, hari ini.

Wan Saiful mendakwa berdasarkan maklum balas dan sentimen sekarang, rakyat Perlis mahukan perubahan namun kerajaan negeri yang diterajui UMNO telah gagal memenuhi kehendak mereka.

Beliau juga mendakwa Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man gagal meyakinkan anggota-anggota parti kerana beliau sendiri tidak mendapat sokongan majoriti.

“MB (Menteri Besar) ni cuma atas kertas. Mana dia perancangan nak bangunkan Perlis dan naikkan ekonomi negeri ” tanya Wan Saiful.

Ketua Bahagian UMNO Padang Besar merangkap anggota Parlimen kawasan itu Datuk Zahidi Zainul Abidin tidak menafikan telah ada perbincangan antara wakil-wakil rakyat BN dan BERSATU kira-kira dua bulan lepas.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis kini mempunyai lapan anggota daripada UMNO dan  satu MCA yang mewakili  BN, dua PAS, tiga PKR  dan satu Anggota Dewan Undangan Negeri  bebas.

— BERNAMA