Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keengganan individu dan kegiatan ekonomi yang mengelak cukai akan menyebabkan negara kehilangan pendapatan sekali gus memberi kesan kepada usaha pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat.
“Justeru, kita perlu lakukan apa yang termampu selain memastikan ‘kelompongan’ (kehilangan hasil) itu dapat dikecilkan dan dihapuskan sama sekali melalui kutipan cukai yang lebih cekap selain element of fear dalam kalangan mereka yang tidak membayar cukai bahawasanya mereka tidak terlepas daripada LHDN.
“Kalau ada elemen seperti ini dan tindakan yang kita lakukan bersungguh-sungguh, saya percaya budaya membayar cukai akan menjadi lebih mantap bukan hanya sebagai tanggungjawab sosial dan moral tetapi juga dituntut agama,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Hasilian Bersama Perdana Menteri sempena Hari Hasil Ke-21 LHDN di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Najib turut meletakkan keyakinan LHDN mampu mencapai sasaran kutipan RM127.7 bilion pada tahun ini selepas berjaya mengutip RM114 bilion pada tahun lalu.
Beliau yang turut memuji peranan LHDN dalam menguruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mencecah 8.3 juta permohonan pada tahun ini meningkat 13.47 peratus berbanding tahun lepas.-MalaysiaGazette