Home Politik Rafizi jangan membisu selepas pendedahan rasuah Jamal

Rafizi jangan membisu selepas pendedahan rasuah Jamal

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Malaysia hari ini mengesahkan bekas anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli telah memohon pada 9 Julai pengecualian agar tidak hilang kelayakan bagi memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar di Malaysia.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Tindakan Rafizi Ramli yang kononnya melawan rasuah tetapi bersikap membisu selepas pendedahan Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dikecam kerana bersikap memilih bulu.

Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.
Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Bekas ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin itu mengulas berhubung isu penyelewengan peruntukan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) yang didedah Jamal kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kenapa kamu tidak dedahkan seperti yang selalu kamu buat. Adakah sebab kawan kamu korup, satu parti korup kamu tidak mahu dedah dan nak berselindung?

“Tapi bila orang lain buat, kamu dedahkan. Maknanya ada kasta apabila Rafizi berdepan dalam isu rasuah ini,” bidas Badrul Hisham atau dikenali Chegubard itu kepada MalaysiaGazette.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu juga agak terkejut apabila Rafizi juga seolah-olah menerima keputusan SPRM menutup kes berhubung bukti dokumen rasuah “seks” dalam pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diserahkannya kepada SPRM pada Mei tahun lalu.

“Yang kedua, selepas SPRM kata tidak ada kes kenapa tiba-tiba kamu seolah-olah menerima keputusan SPRM tersebut.

“Walhal ini berbeza dengan kes sebelum ini di mana Rafizi tidak terima keputusan SPRM dan kamu melawan dan terus dedahkan,” katanya lagi.

Jamal menuduh sekurang-kurangnya lima ahli parlimen pembangkang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur didakwa turut menerima peruntukan daripada YAWAS walaupun mereka tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri Selangor.

Rafizi tidak menjawab berhubung isu ini, malah Azmin juga membisu dan mengatakan terserah kepada SPRM untuk menyiasat.

Rafizi sebaliknya membidas Jamal dengan kritikan retorik mengatakannya seorang ‘badut’ dan tidak perlu dilayan.

“Kalau kamu betul-betul seorang yang berintegriti dan memperjuangkan ketelusan, jangan bunuh pemberi maklumat… kamu jangan bunuh sama ada dengan membunuh orang itu atau mengenepikan maklumat itu hanya kerana watak yang membawa bukti itu.

“Posmen itu tak penting, yang penting surat itu, yang penting mesej itu,” katanya.

Badrul Hisham tidak menolak mungkin Rafizi sudah menerima ugutan atau kemungkinan sudah menerima habuan untuk tutup mulut sahaja.

“Adakah dia menerima ugutan dalam parti seperti saya yang sudah dipecat dan akhirnya kamu senyap.

“Maknanya kamu nak jaga kedudukan kamu saja lah. Atau kemugkinan kamu terima habuan untuk senyapkan perkara ini?” katanya. – MalaysiaGazette